Sultan Nazrin seru syarikat Malaysia wujudkan CSOD

Sultan Nazrin seru syarikat Malaysia wujudkan CSOD

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan ucapan di Sidang Kemuncak ASEAN GO ESG 2022 di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyeru syarikat-syarikat Malaysia mewujudkan dan mengekalkan platform dalam talian Data Terbuka Kemampanan Korporat (CSOD) yang terdiri daripada data relevan mengenai semua isu berkaitan kemampanan dan boleh diakses oleh orang ramai.

Baginda bertitah, CSOD juga harus menyediakan maklumat tentang matlamat kemampanan masa depan syarikat, supaya orang ramai boleh menjejaki matlamat pelaksanaan dan kemajuan mereka.

“Beta juga mencadangkan bahawa peruntukan telus yang boleh dipercayai dan data kemampanan yang komprehensif harus menjadi aspek penting dalam komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Ia harus dilaksanakan secara sukarela oleh syarikat, melangkaui skim pelaporan kemampanan mandatori yang sudah tertakluk kepada kebanyakan syarikat,” titah baginda dalam Sidang Kemuncak ASEAN GO ESG 2022, semalam.

Baginda bertitah lagi, terdapat peningkatan kesedaran dan kebimbangan orang ramai tentang isu kemampanan terutamanya generasi muda atau Gen Z.

“Mereka benar-benar me­ngambil berat sama ada nilai syarikat yang mereka bekerja atau membuat pembelian sejajar dengan nilai mereka sendiri.

“Mereka mahu tahu sama ada komitmen dan tuntutan kemampanan adalah ikhlas. Untuk memenuhi permintaan yang tidak putus-putus itu, satu perkara syarikat mesti lakukan adalah untuk memudahkan akses terbuka kepada data berkaitan kemampanan mereka sendiri,” titah baginda.

Titah Sultan Nazrin, satu contoh baik CSOD yang sudah beroperasi ialah ESGenome iaitu portal pendedahan digital yang dilancarkan oleh Bursa Singapura (SGX).

“Portal ini memudahkan pelaporan data amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) secara berstruktur dan cekap.

“Data yang disediakan pada ESGenome boleh diakses secara bebas oleh pelabur dan pihak berkepentingan lain, dengan itu membantu mereka untuk membuat keputusan termaklum berkaitan pelaburan dan penilaian korporat mereka,” titah ba­ginda.

Baginda turut menggesa sektor korporat memberi sumba­ngan besar kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dengan bertindak lebih bertanggungjawab dan memanfaatkan sumber sendiri, termasuk modal insan, teknologi dan inovasi.

“Syarikat dan jabatan kerajaan di seluruh ASEAN mesti meyakinkan masyarakat bahawa semua dasar yang dibangunkan untuk menangani krisis iklim adalah wajar sepenuhnya oleh data.

“Mereka juga mesti menunjukkan bahawa mereka mengikuti amalan dasar ini dan memenuhi sasaran yang telah ditetapkan. Semua ini hanya boleh dilakukan melalui penggunaan sumber data yang boleh dipercayai dan telus,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN