PETALING JAYA: Bursa Malaysia mengakhiri penyusutan selama dua hari berturut-turut minggu ini apabila ditutup lebih tinggi semalam, walaupun kemelut pembentukan kerajaan baharu masih berlanjutan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu lalu.
Pada pukul 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.21 mata kepada 1,443.50 berbanding 1,441.29 pada penutupan kelmarin.
Indeks utama itu dibuka susut 1,431.9, turun 9.39 mata kemudian meneruskan aliran menurunnya pada pertengahan petang semalam apabila susut 1.65 mata kepada 1,439.64 daripada 1,441.29 pada Selasa.
Ringgit pula ditutup pada 4.5720/5780 berbanding dolar Amerika Syarikat, terus melemah berbanding penutupan kelmarin pada 4.5680/5750.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn. Bhd., Thong Pak Leng menjangkakan sentimen akan kekal berhati-hati dalam tempoh beberapa hari lagi sehingga wujudnya keputusan yang lebih jelas mengenai pemilihan Perdana Menteri Malaysia ke-10.
“Sehubungan itu, kami menjangkakan indeks itu mungkin bergerak dalam jajaran 1,430-1,450 hari ini berikutan spekulasi yang berterusan dengan peserta pasaran kekal tidak memasuki pasaran,” katanya.
Pada penutupan dagangan semalam, sebanyak 388 kaunter untung, 382 rugi dan 418 kaunter didagangkan tidak berubah.
Selain itu, FBMACE berada pada 4,973.73, naik 1.30 mata manakala FBMEmas meningkat 19.06 mata kepada 10,266.22.
Jumlah dagangan berada pada 2.684 bilion saham bernilai RM1.633 bilion. – UTUSAN










