PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berjaya membuktikan tuntutannya dalam saman sivil terhadap bekas pengarah eksekutif Patimas Computers Berhad (Patimas), Datuk Ng Back Heang kerana dagangan orang dalam.
Mahkamah Tinggi memerintahkan Back Heang, 68, membayar sejumlah RM1.24 juta kepada SC iaitu jumlah yang bersamaan tiga kali ganda kerugian yang dielakkannya akibat dagangan orang dalam.
SC dalam kenyataan memaklumkan, Pesuruhjaya Kehakiman, Muhammad Amin Wan Yahya mendapati Back Heang telah melanggar Seksyen 188(2)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.
“Back Heang juga diperintahkan membayar penalti sivil sebanyak RM700,000 kepada SC. Dia dihalang daripada dilantik sebagai pengarah sebuah syarikat awam tersenarai selama lima tahun, mulai hari ini selain SC juga diberi bayaran kos sebanyak RM100,000.
“Pelanggaran itu berlaku apabila dia melupuskan sejumlah 16.5 juta saham Patimas yang dimilikinya antara Mei hingga Julai 2012, ketika memiliki maklumat bukan awam yang material.
“Maklumat tersebut berkaitan dengan pertanyaan audit dan isu mengenai transaksi yang mencurigakan antara Patimas dan penghutang utamanya,” katanya dalam kenyataan.
Dagangan orang dalam terus menjadi keutamaan tinggi bagi SC dan keputusan ini menekankan dengan jelas bahawa SC tidak bertolak ansur terhadap dagangan orang dalam di mana maklumat dalaman disalahgunakan untuk kepentingan peribadi.
Ia merupakan tuntutan kedua yang berjaya oleh SC terhadap bekas pengarah Patimas untuk dagangan orang dalam.
Pada April lalu, tuntutan sivil SC terhadap bekas Timbalan Pengerusi Patimas, Datuk Raymond Yap Wee Hin, dibenarkan dan Mahkamah Tinggi memerintahkannya membayar sejumlah RM3.28 juta kepada SC, iaitu tiga kali ganda kerugian yang dielakkannya akibat aktiviti dagangan orang dalam, berserta penalti sivil sebanyak RM1 juta. – UTUSAN










