PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengeluarkan Garis Panduan baharu Produk dan Perkhidmatan Pasaran Modal Islam (Garis Panduan ICMPS) yang akan menjadi sumber rujukan utama bagi semua tawaran produk dan perkhidmatan Pasaran Modal Islam (ICM) untuk pelabur sofistikated dan runcit.
Menurut SC, ia merupakan sebahagian daripada inisiatif pihaknya untuk mempertingkatkan lagi rangka kerja tadbir urus syariah bagi ICM.
Garis Panduan ICMPS katanya. menyatukan semua keperluan syariah yang sebelum ini telah ditetapkan dalam pelbagai garis panduan termasuk Garis Panduan Dana Unit Amanah, Garis Panduan Dana Dagangan Bursa dan Garis Panduan Produk Pasaran Modal Tidak Tersenarai di bawah Rangka Kerja Serah dan Simpan (LOLA).
Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, Garis Panduan ICMPS yang berkuat kuasa mulai semalam, menyediakan pihak berkepentingan berkaitan, sebuah pusat dokumen yang komprehensif mengenai prinsip dan keperluan syariah yang dipakai produk dan perkhidmatan ICM.
Kata beliau, Garis Panduan ICMPS juga memperkenalkan bab baharu khusus untuk wakaf.
“Sebagai sebahagian usaha SC untuk mendalami dan meluaskan ICM, pengenalan bab ini membuktikan bahawa wakaf merupakan pemboleh utama dalam memanfaatkan cadangan nilai kewangan sosial Islam untuk inisiatif Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI).
“Bagi tujuan ini, Rangka Kerja Dana Bercirikan Wakaf (WQ-FF) yang diperluas kini akan merangkumi dana tersenarai seperti Amanah Pelaburan Hartanah Islam (REIT) dan Dana Dagangan Bursa Islam (ETF).
“Perluasan itu akan menyediakan lebih banyak pilihan kepada pengeluar produk dan pelabur bagi meluaskan pemilihan pelaburan dalam produk yang memperuntukkan semua atau sebahagian daripada pulangan mereka ke arah aktiviti yang memberi impak sosial melalui wakaf.
“Pengeluaran Garis Panduan ICMPS dan perluasan Rangka Kerja WQ-FF adalah sejajar dengan pembangunan industri dan keperluan pasaran,” kata beliau dalam kenyataan.
Awang Adek berkata, inovasi penting untuk kekal relevan dan dalam mengukuhkan peranan Malaysia di barisan hadapan dalam kemajuan berasaskan pasaran syariah.
SC merupakan badan berkanun yang melapor kepada Menteri Kewangan, ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993. Ia merupakan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal.
SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. – UTUSAN










