PETALING JAYA: Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) berharap Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menyokong dan meningkatkan keupayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di dalam negara.
Pengerusi Samenta Pusat, Datuk William Ng berkata, Anwar telah terbukti sebagai rakan baik dan penyokong setia PKS dan merupakan antara pembela PKS yang paling lantang bersuara semasa pandemik sama ada di dalam dan luar Parlimen.
Katanya, dalam semua libat urus persatuan dengan beliau, Anwar telah menekankan keperluan untuk ahli persatuan meningkatkan keupayaan dan bersedia untuk menyokong pemulihan ekonomi negara.
“Antara agenda utama yang perlu diberi penekanan oleh kerajaan baharu adalah untuk mengeluarkan Malaysia daripada perangkap negara membangun atau ‘middle income trap’.
“Ini boleh dilakukan dengan memberi tumpuan kepada industri dan sektor yang mana Malaysia mempunyai kelebihan dan membina ekosistem PKS yang kukuh untuk menyokong sektor-sektor tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, William berkata, kerajaan juga perlu memperkenalkan tadbir urus yang baik dan amalan kawal selia yang baik (GRP) untuk membina semula keyakinan dalam kalangan pelabur asing dan domestik.
Menurutnya, perkara tersebut dapat menyakinkan pelabur bahawa Malaysia adalah ekonomi berasaskan peraturan, telus, dan berintegriti.
“Selain itu, kerajaan juga harus mengimbang semula peranan syarikat milik kerajaan (GLC) dalam menyokong pertumbuhan ekonomi kita dan agenda sosio-ekonomi untuk membela kumpulan terpinggir tanpa menyekat persaingan.
“Kita juga perlukan pembaharuan undang-undang buruh untuk membenarkan gaji dikaitkan dengan produktiviti, selaras dengan iltizam kita untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.
“Sebagai persatuan tertua dan terbesar di Malaysia untuk PKS, Samenta kekal komited untuk menyokong kerajaan dalam melindungi kepentingan kesemua sejuta PKS serta kemampanan ekonomi negara,” ujarnya. – UTUSAN










