PETALING JAYA: Saham berkaitan tenaga jatuh dalam dagangan pagi Khamis di Bursa Malaysia, berikutan kemerosotan harga minyak dunia.
Ia meneruskan trend kejatuhan pada Rabu, didorong data yang menunjukkan peningkatan di luar jangka dalam simpanan minyak mentah Amerika Syarikat (AS).
Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) untuk penghantaran Disember jatuh AS$3.08 atau 3.5 peratus dan ditutup pada AS$85.83 setong di New York Mercantile Exchange.
Minyak mentah Brent untuk penghantaran Januari pula susut AS$2.71 atau 2.8 peratus untuk ditutup pada AS$92.65 setong di Bursa Hadapan ICE London.
Antara saham tenaga di Bursa Malaysia, Velesto Energy Bhd. ketika ini jatuh 3.70 peratus atau setengah sen kepada 13 sen; Hibiscus Petroleum Bhd. turun 1.94 peratus atau dua sen kepada RM1.01; Icon Offshore Bhd. rugi 3.70 peratus atau setengah sen kepada 13 sen; Hengyuan Refining Company Bhd. turun 3.08 peratus atau 14 sen kepada RM4.40; Bumi Armada Bhd. susut 1.16 peratus atau setengah sen kepada 42.5 sen; KNM Group Bhd. susut 10 peratus atau setengah sen kepada 4.5 sen, manakala Dayang Enterprise Holdings Bhd. susut 0.81 peratus atau satu sen kepada RM1.23. – UTUSAN










