PETALING JAYA: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) naik kepada AS$105.2 bilion pada 31 Oktober 2022 daripada AS$104.5 bilion pada 14 Oktober 2022.
Bank pusat itu dalam kenyataannya berkata, paras rizab memadai untuk membiayai 5.5 bulan import barangan dan perkhidmatan serta 1.1 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek.
Katanya, komponen utama rizab adalah rizab mata wang asing berjumlah AS$93.7 bilion, kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.3 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$5.5 bilion), emas (AS$2.1 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.6 bilion).
Aset berkenaan terdiri daripada emas, pertukaran asing dan rizab lain termasuk SDR (RM487.79 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.36 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM23.63 bilion), tanah dan bangunan (RM4.14 bilion) serta aset-aset lain (RM55.11 bilion).
BNM berkata, modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM155.24 bilion), mata wang dalam edaran (RM157.86 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM183.47 bilion), deposit Kerajaan Persekutuan (RM9.69 bilion), deposit lain (RM34.20 bilion), kertas Bank Negara (RM9.64 bilion), peruntukan SDR (RM28.70 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM4.13 bilion). – UTUSAN










