PETALING JAYA: Bursa Malaysia didagangkan secara berhati-hati apabila dibuka rendah semalam, disebabkan keputusan Parlimen yang tergantung dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sehingga memberi kesan kepada pembentukan kerajaan baharu.
Prestasi Bursa kekal rendah pada pukul 11.02 pagi apabila penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.5 mata kepada 1,439.82 daripada penutup Khamis lalu pada 1,449.32, sebelum ditutup 1,447.96 susut 1.36 mata.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 553 berbanding 212, manakala 289 kaunter tidak berubah, manakala 1,278 tidak diniagakan dan 48 yang lain digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 1.91 bilion unit bernilai RM1.02 bilion.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, penurunan indeks Bursa Malaysia dan penurunan nilai mata wang ringgit menunjukkan para pengurus dana bersikap berhati-hati dengan pergolakan politik yang sedang dilalui negara selepas PRU15.
Ujarnya, penyelesaian mungkin mengambil masa beberapa hari atau keseluruhan minggu ini sehinggalah kabinet baharu dibentuk.
“Selagi kerajaan tidak distabilkan maka para pelabur dana akan mengelak daripada memasuki pasaran saham Malaysia dan mungkin akan terus menjual pegangan mereka dalam syarikat-syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia.
“Penjualan saham serta keluar ini menyebabkan ringgit dijual seterusnya nilai ringgit juga akan menurun.
“Selain itu, pegangan pelabur asing turut juga berkurang melalui sekuriti keluaran kerajaan, manakala risiko instrumen sekuriti kerajaan turun bertambah, menunjukkan reaksi negatif oleh pemain pasaran kewangan dengan krisis politik yang berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tegas beliau, sekiranya pembentukan kerajaan baharu tidak selesai dalam minggu ini, mungkin negara akan menyaksikan kejatuhan terbesar dalam pasaran saham dan nilai mata wang ringgit.
Mata wang tempatan itu didagangkan pada 4.5852/4.5750 berbanding dolar Amerika Syarikat berbanding 4.5470/4.5500 Khamis lalu.
Sementara itu, pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, pasaran saham negara mungkin akan pulih dalam masa terdekat apabila Kabinet baharu diumumkan dan mungkin melonjak jauh lebih tinggi.
“Buat masa ini, pasaran saham sepatutnya sudah menjangkau 1,700 mata namun tidak berlaku kerana situasi global dan ekonomi dunia terutama di Amerika Syarikat (AS).
“Kejatuhan terbaharu selepas PRU15 ini dijangka tidak lama dan tidak akan jatuh banyak. Ekonomi negara sebenarnya cuba disokong oleh pasaran supaya tidak menjejaskan sentimen persepsi pelabur. Jadi, kalau dapat disokong, ia tidak akan merosotkan sentimen keseluruhan pasaran,” ujarnya. – UTUSAN










