Rangkaian borong tunggal 5G berpotensi jimatkan RM30 bilion

Rangkaian borong tunggal 5G berpotensi jimatkan RM30 bilion

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan rangkaian borong tunggal 5G yang pertama di dunia oleh Digital Nasional Bhd. (DNB), pengendali rangkaian mudah alih (MNO) dalam industri telekomunikasi Malaysia berpotensi menjimatkan kos pembinaan infrastruktur hingga kira-kira RM30 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia akan membolehkan MNO fokus kepada penambahbaikan perkhidmatan 4G dan penyediaan perkhidmatan 5G yang inovatif dan bernilai tinggi bagi manfaat rakyat dan perniagaan.

“Perjanjian akses 5G yang dimeterai oleh lima MNO dan DNB tersebut pencapaian penting dalam melaksanakan visi 5G negara bagi memacu pembangunan ekonomi digital dalam tempoh jangka panjang.

“Dengan penyertaan lima MNO ini dalam penyediaan akses borong oleh DNB, pelanggan-pelanggan mereka dijangka akan dapat mendapat manfaat dengan kelajuan pantas dan ketersambungan 5G dengan lebih inklusif pada harga mampu milik,” katanya dalam kenyataan.

Pada 31 Oktober lalu, Celcom Axiata Bhd., Digi Telecommunications Sdn. Bhd., Telekom Malaysia Bhd. (TM), U Mobile Sdn. Bhd. dan YTL Communications Sdn. Bhd. (YES) masing-masing telah menandatangani perjanjian akses 5G bersama DNB.

Tengku Zafrul berkata, kos pembangunan rangkaian 5G adalah RM16.5 bilion dalam tempoh 10 tahun tanpa sebarang pembiayaan atau jaminan kerajaan selain suntikan ekuiti bernilai RM500 juta untuk memulakan operasi syarikat DNB.

“DNB komited untuk mempercepatkan pembangunan rangkaian dan infrastruktur 5G,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, rangkaian 5G kini meliputi hampir 11 juta penduduk di seluruh Malaysia bersamaan dengan lebih daripada 33 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

“Setakat akhir Ogos 2022, DNB kekal berada di landasan untuk mencapai kirak-kira 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang akhir 2024,” katanya.

Tambah beliau, pewujudan khidmat 5G akan meningkatkan produktiviti, kecekapan dan inovasi yang dijangka mewujudkan sebanyak 750,000 pekerjaan berkemahiran tinggi dan menjana RM650 bilion bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara kumulatif sehingga tahun 2030. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN