PETALING JAYA: Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd. (PTP), Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) dan Ronald McDonald House Charities baru-baru ini telah mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Klinik dan Wad Pediatrik, Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Pelbagai aktiviti telah dianjurkan sepanjang program oleh 40 sukarelawan PTP dan LPJ bagi menceriakan semula kawasan permainan kanak-kanak di hospital berkenaan.
Turut diadakan penyerahan permainan baharu, buku-buku dan bahan ilmiah lain selain Happy Meal Boxes kepada kanak-kanak di wad.
Menurut PTP, setiap tahun, kira-kira 10,000 kanak-kanak menerima rawatan di HSA dengan kebanyakannya dari Mersing, Kota Tinggi dan Kluang.
“Klinik Pediatrik berfungsi untuk merawat pelbagai penyakit tetapi memberi tumpuan merawat kanak-kanak dengan talasemia, terutamanya berkaitan rawatan pemindahan darah.
“Oleh itu, inisiatif CSR sebahagian daripada usaha semua pihak terlibat untuk menyebarkan keceriaan dalam kalangan kanak-kanak ini dan tanda penghargaan kepada doktor serta jururawat atas komitmen tinggi mereka merawat kanak-kanak terbabit,” katanya.- UTUSAN










