PETALING JAYA: Petronas Petróleo Brasil Ltda. (PPBL), anak syarikat Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) mengumumkan penemuan minyak pertamanya dalam telaga 4-BRSA-1386D-RJS di lapangan minyak Sépia, Brazil.
Lapangan minyak itu terletak di Lembangan Santos yang prolifik, kira-kira 250 kilometer (km) dari pantai Rio de Janerio, pada kedalaman kira-kira 2,000 meter.
Penemuan penting ini dibuat dalam Kawasan Sertaan Bersama Sépia yang meliputi kontrak Pemindahan Hak Sépia (ToR) oleh Petrobras yang memiliki pegangan 100 peratus manakala Kontrak Perkongsian Pengeluaran Lebihan Sepia ToR yang diberikan kepada Petrobras (30 peratus), TotalEnergies (28 peratus), QatarEnergy (21 peratus) dan PBBL (21 peratus), dengan Pré-Sal Petróleo S.A. (PPSA) sebagai pengurus.
PPBL dan rakan kongsi konsortiumnya memenangi Kontrak Perkongsian Pengeluaran Lebihan Sépia ToR semasa Pusingan Pembidaan Lebihan Pemindahan Hak Kedua Brazil yang diadakan di Rio de Janeiro pada 2021.
Naib Presiden Eksplorasi Petronas, Mohd. Redhani Abdul Rahman berkata, pihaknya teruja dengan penemuan ketara di salah satu lembangan paling prolifik di dunia.
“Petronas dan rakan kongsi akan terus bekerjasama rapat, bersama kerajaan tersebut untuk membuka lebih banyak penciptaan nilai dan pencapaian bersama-sama.
“Kami juga akan meneruskan usaha penyahkarbonannya untuk membangunkan dan memanfaatkan lapangan minyak Sépia secara mampan, sambil mengukuhkan portfolio kami di negara ini, selaras dengan strategi pertumbuhan global kami,” katanya.
PPBL kini mempunyai kepentingan penyertaan dalam Tartaruga Verde (Konsesi BM-C-36) dan Modul III medan laut dalam Espadarte (Konsesi Espadarte) yang terletak di Lembangan Campos, luar pesisir pantai Brazil, dan memegang kepentingan penyertaan dalam tiga blok penerokaan air dalam yang lain di Lembangan Campos (C-M-661, C-M-715 dan C-M-541). – UTUSAN










