PETALING JAYA: Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd. (Petron) terus mencatatkan prestasi kukuh pada suku ketiga (S3) tahun kewangan 2022 (TK2022), didorong oleh prestasi jualan syarikat yang lebih tinggi sejajar dengan pemulihan permintaan domestik apabila negara beralih kepada fasa endemik.
Menurut Petron, pada suku tersebut, syarikat menjana pendapatan sebanyak RM4.7 bilion, peningkatan lebih dua kali ganda berbanding RM2.2 bilion suku sama tahun lalu.
Walau bagaimanapun katanya, margin syarikat dipengaruhi oleh harga minyak mentah yang mahal untuk mengatasi margin penapisan yang menguntungkan dama tempoh tersebut.
“Penguncupan sebahagian margin diimbangi oleh pendapatan bukan operasi kesan daripada penilaian lindung nilai komoditi Mark-to-Market. Syarikat mencatatkan keuntungan bersih RM32 juta pada suku ketiga, hampir setara dengan RM33 juta yang
dicatatkan tahun lalu” katanya dalam kenyataan.
Bagi tempoh sembilan bulan sehingga September, Petron mengekalkan prestasi kewangan yang kukuh dengan pendapatan sebanyak RM14.1 bilion.
Jelasnya, ia merupakan peningkatan lebih dua kali ganda brbanding RM6.2 bilion pada 2021.
“Pendapatan operasi berjumlah RM364 juta untuk sembilan bulan pertama, iaitu 32 peratus lebih tinggi daripada RM275 juta, sementara pendapatan bersih melonjak 80 peratus kepada RM322 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Petron, Ramon S. Ang berkata, prestasi cemerlang yang diraih oleh Petron di dalam keadaan ketidakpastian ekonomi global menunjukkan bukti ketahanan dan komitmen syarikat untuk memberikan pertumbuhan yang stabil dan nilai yang mampan.
“Kami terus memberi tumpuan untuk meminimumkan risiko, menguruskan sumber dengan bijak dan meningkatkan kecekapan kami di dalam menangani persekitaran perniagaan yang mencabar. Kami akan melaksanakan program strategik yang telah kami rancangkan, disamping meneruskan usaha mengembangkan sektor runcit dan logistik untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan baru,” katanya.
Tambah beliau, syarikat juga telah memulakan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan jejak karbon termasuk penggunaan tenaga solar yang boleh diperbaharui untuk operasi stesen servis dan mengurangkan penggunaan dan pelepasan tenaga dalam rantaian bekalannya.
Pada suku ketiga, Petron merekodkan jumlah jualan sebanyak 8.6 juta, melepasi 6.1 juta pada tahun lalu, peningkatan sebanyak 41 peratus.
Menurut syarikat itu, prestasi perniagaan runcit juga berkembang sebanyak 68 peratus berbanding suku yang sama 2021, iaitu melebihi jualan pra pandemik sebanyak 14 peratus.
“Ini menjadikan jumlah jualan untuk tempoh sembilan bulan pertama meningkat sebanyak 25 juta tong, bersamaan dengan 30 peratus peningkatan daripada tempoh yang sama tahun lalu,” jelasnya. – UTUSAN










