PETALING JAYA: Pemegang saham Axiata Group Berhad (Axiata) dan Digi.Com Bhd. (Digi) telah meluluskan cadangan penggabungan antara Digi dan Celcom Axiata Bhd (Celcom).
Dalam kenyataan berasingan, Axiata dan Digi berkata, Lembaga Pengarah telah mencapai keputusan tersebut dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) Kumpulan semalam.
“Keputusan EGM melalui undian telah dikemukakan kepada Bursa Securities (Bursa) seperti dikehendaki oleh peraturan.
“Memandangkan pemegang saham Axiata telah bersetuju, penggabungan itu semakin hampir selesai, setelah sebelum ini mendapat kelulusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa,” kata Axiata.
Digi pula memaklumkan, Axiata dan Telenor akan mempunyai pegangan sama sebanyak 33.1 peratus dalam syarikat bakal dibentuk dicadang dinamakan Celcom Digi Berhad.
September lalu, SC telah meluluskan cadangan penggabungan antara Digi.Com dan Celcom di bawah terma dan syarat tertentu.
Cadangan penggabungan itu membabitkan pemindahan keseluruhan modal saham terbitan Celcom sebanyak 1.24 bilion saham oleh Axiata kepada Digi pada harga RM17.76 bilion, serta penyenaraian tambahan 3.96 bilion saham baharu Digi di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Sementara itu, kedua-dua syarikat telekomunikasi itu memaklumkan kepada bursa sebelum ini bahawa SC juga telah meluluskan struktur ekuiti bumiputera dalam Digi berikutan dengan cadangan penggabungan itu.
Selepas cadangan penggabungan itu, saham terbitan yang diperbesarkan dan diperuntukkan kepada rakyat Malaysia akan meningkat kepada 59.9 peratus daripada 40.4 peratus pada 31 Disember 2021, manakala peruntukan rakyat asing akan menurun daripada 59.6 peratus kepada 40.1 peratus.
Daripada 59.9 peratus saham terbitan yang diperbesarkan untuk rakyat Malaysia, 47.4 peratus akan diperuntukkan kepada bukan bumiputera berbanding 21.6 peratus sebelum penggabungan, manakala peruntukan bumiputera akan menjadi 12.5 peratus, turun daripada 18.8 peratus. – UTUSAN










