Pelarasan OPR wujudkan persekitaran sesuai

Pelarasan OPR wujudkan persekitaran sesuai untuk pertumbuhan ekonomi mampan

BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi dalam usaha mengekang kenaikan inflasi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelarasan Kadar Dasar Semalaman (OPR) membantu mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan, seiring dengan harga yang lebih stabil, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Jelas BNM, hal itu seterusnya menyebabkan sentimen pelabur terhadap ekonomi Malaysia bertambah baik dan menyokong kadar pertukaran ringgit dari semasa ke semasa.

Tambahnya, terdapat banyak faktor lain yang turut mempengaruhi kadar pertukaran ringgit.

Pada masa ini katanya, negara berada dalam persekitaran dolar Amerika syarikat (AS) yang kukuh disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk kenaikan kadar faedah yang besar oleh Rizab Persekutuan (Fed) bagi membendung inflasi di negara itu.

Hal ini jelasnya, telah menyebabkan pulangan yang lebih tinggi dan permintaan yang lebih tinggi terhadap aset dalam dolar AS dalam kalangan pelabur pada peringkat global.

“Oleh itu, kita tidak seharusnya hanya membandingkan pergerakan ringgit dengan dolar AS. Sebaliknya, kita juga perlu membandingkan ringgit dengan mata wang lain. Pada waktu inilah kadar pertukaran efektif secara nominal (NEER) menjadi relevan.

“NEER mengambil kira pergerakan ringgit berbanding mata wang rakan perdagangan Malaysia. Lazimnya, NEER merupakan ukuran yang lebih baik bagi trend umum dalam kadar pertukaran berbanding mana-mana kadar pertukaran dua hala yang lain (contoh, ringgit berbanding AS).

“Contohnya, nilai ringgit mungkin menurun berbanding dolar AS, tetapi bertambah nilai berbanding mata wang lain,” jelas BNM dalam soalan lazim mengenai dasar monetari yang dikeluarkan sempena keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bank pusat itu menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi kepada 2.75 peratus.

Penjelasan itu merujuk kepada soalan adakah kadar OPR yang lebih tinggi akan mengukuhkan kadar pertukaran ringgit?

Menurut BNM, apabila merujuk kepada NEER ringgit, kadar ini secara amnya stabil, iaitu bertambah nilai sebanyak 0.1 peratus pada lapan bulan pertama 2022.

“Hal ini mencerminkan peningkatan nilai ringgit berbanding beberapa mata wang lain,” jelas BNM.

Menjawab soalan setinggi manakah kadar faedah akan meningkat, BNM berkata, meskipun telah menaikkan OPR beberapa kali secara berturut-turut, namun ia tidak bermakna MPC akan terus menaikkan OPR pada setiap mesyuaratnya.

Sebaliknya, MPC akan terus memantau keadaan ekonomi dan membuat pelarasan sekiranya perlu, secara beransur-ansur.

“Pada masa ini, ekonomi tidak lagi mengalami krisis. Ekonomi Malaysia telah pulih dengan pantas sejak awal 2022. Oleh itu, MPC telah mula membuat pelarasan pada OPR secara beransur-ansur. Tindakan ini sama seperti doktor yang perlu menyesuaikan dos ubat mengikut keadaan pesakit,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN