PETALING JAYA: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengunjurkan jumlah pelaburan yang diluluskan tahun ini akan pulih kepada paras sebelum pandemik dengan lebih RM200 bilion setahun.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Arham Abdul Rahman berkata, dari segi purata, pelaburan langsung domestik dan pelaburan langsung asing merangkumi nisbah 60:40 daripada pelaburan tahunan diluluskan negara, terutama untuk sektor perkhidmatan.
Ujarnya, pelaburan dalam semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E) akan terus membentuk sumbangan terbesar kepada jumlah pelaburan pada tahun ini.
“Gangguan global dalam rantaian bekalan E&E dan semikonduktor di seluruh dunia semasa pandemik menyaksikan banyak cip dan semikonduktor digunakan dalam telefon mudah alih dan pengeluaran komputer, sekali gus menyebabkan kekurangan untuk industri automotif.
“Kini, permintaan untuk cip dan semikonduktor dalam industri automotif berada pada aliran meningkat,” katanya dalam sidang akhbar selepas perbincangan panel bertajuk Shifting the Paradigm: Enhancing DDI for Sustainable Economic Growth.
Pada separuh pertama 2022, MIDA meluluskan jumlah pelaburan sebanyak RM123.3 bilion, sebahagian besarnya dalam sektor perkhidmatan, termasuk untuk projek pusat data di Johor.
“Trend adalah meningkat, sejajar dengan minat yang semakin meningkat terhadap Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan dalam kalangan pelabur domestik dan asing,” ujarnya.
Pada 2021, MIDA meluluskan pelaburan berjumlah RM309.4 bilion (AS$74.2 bilion) dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama walaupun menghadapi cabaran global berikutan beberapa projek besar yang diraih, terutamanya dalam industri E&E dan semikonduktor, termasuk daripada Intel dan Osram. – UTUSAN










