Pecca teroka pasaran kereta Indonesia

Pecca teroka pasaran kereta Indonesia, ambil alih 80 peratus kepentingan PT GMK

FOO KEN NEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pecca mempercepat pertumbuhan dengan meneroka pasaran kereta terbesar ASEAN iaitu Indonesia.

Bagi tujuan itu, Pecca mengumumkan hasratnya untuk memperoleh 80 peratus pegangan dalam PT Gemilang Maju Kencana (GMK), syarikat yang dikaitkan dengan Kumpulan Syarikat MPI Indonesia, pada nilai 6.4 bilion rupiah (kira-kira RM1.92 juta).

Ketua Pegawai Eksekutif Pecca Group Berhad, Foo Ken Nee berkata, Indonesia dijangka menjadi enjin pertumbuhan penting bagi Pecca sambil syarikat berusaha untuk meluaskan kehadiran asing dalam sarung kerusi `upholsteri’ dalam industri automotif.

Beliau berkata, Pecca boleh meningkatkan pertumbuhan masa depan kerana Indonesia menjual lebih banyak kereta berbanding pasaran Asia Tenggara yang lain.

Katanya, berdasarkan data pasaran, jualan kenderaan Indonesia bagi tempoh Januari hingga Ogos 2022 ialah 658,232 unit, jauh mengatasi Thailand 559,537 unit dan Malaysia 447,209 unit dalam tempoh yang sama.

“Ini bermakna terdapat peluang besar untuk pembuat upholsteri automotif seperti Pecca di Indonesia. Malah, dengan lebih 20 tahun kekayaan dan pengalaman luas dalam kepakaran `upholsteri’ yang luas, kami menawarkan pelbagai produk, reka bentuk, dan campuran bahan untuk dipadankan kepada keperluan pasaran.

“Pecca mempunyai kelebihan daya saing dalam memperoleh pesanan baharu dengan pelanggan baharu dalam pasaran Indonesia. Kehadiran GMK yang mantap dalam pasaran akan membantu Pecca untuk percepatkan kehadirannya dalam industri yang berdaya saing ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Pecca, penerokaan ke Indonesia mula terbentuk di tengah-tengah usaha Kumpulan untuk menggandakan kapasiti pengeluarannya kepada 40,000 hingga 50,000 sarung kerusi sebulan menjelang akhir 2023.

Pada masa ini katanya, Pecca mengeluarkan 20,000 hingga 22,000 sarung kerusi setiap bulan dan peningkatan kapasiti pengeluaran akan dicapai setelah pembinaan kemudahan pembuatan kedua Pecca di Serendah siap menjelang hujung 2023.

“Kumpulan juga sedang berusaha untuk mengubah syarikat dari Tahap-2 (sub-kontraktor) menjadi peserta Tahap-1 (kontraktor utama) yang mengeluarkan keseluruhan tempat duduk, bukan hanya sarung. Pecca menyasar untuk memberikan lebih nilai kepada pelanggan dan seterusnya, menikmati margin yang lebih baik dengan menjadi peserta Tahap-1,” katanya.

Pada 31 Oktober 2022, Pecca melalui anak syarikatnya, Pecca Leather Sdn. Bhd., telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pemegang saham sedia ada GMK – PT Multi Berjaya Asindo (61 peratus), CSC Automotive Sdn. Bhd. (22 peratus), Tan Kim Cheang (16 peratus) dan Herny Pramana (1 peratus) – untuk memperoleh 80 peratus kepentingan ekuiti dalam GMK.

Sementara itu, Herny akan meningkatkan pegangan sahamnya dalam GMK kepada 10 peratus, manakala Neo Hwee Leong akan memperoleh baki 10 peratus.

Neo adalah Pengurus Besar GMK, manakala Herny merupakan Ketua Jabatan Kewangan. Menurut MoU tersebut, Pecca, Neo dan Herny akan menandatangani Perjanjian Jual Beli untuk melengkapkan transaksi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×