PETALING JAYA: Nilai kerja pembinaan pada suku ketiga 2022 melonjak 23.2 peratus berjumlah RM30.5 bilion, daripada suku sama tahun sebelumnya.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pengembangan itu dipacu oleh subsektor bangunan bukan kediaman sebanyak 37.7 peratus, aktiviti pertukangan khas (32.2 peratus), bangunan kediaman (17.8 peratus) dan kejuruteraan awam (14.6 peratus).
Jelasnya, pada suku ketiga, subsektor kejuruteraan awam kekal sebagai penyumbang utama nilai kerja pembinaan dengan sumbangan sebanyak 37.9 peratus, diikuti bangunan bukan kediaman (30.4 peratus), bangunan kediaman (22.3 peratus) dan aktiviti pertukangan khas (9.4 peratus).
“Nilai kerja yang dimiliki oleh sektor swasta berjumlah RM18 bilion, meningkat ketara 31.8 peratus dengan sumbangan sebanyak 59 peratus. Sementara itu, nilai kerja yang dimiliki oleh sektor awam meningkat 12.6 peratus,” katanya dalam kenyataan.
DOSM berkata, Selangor merekodkan nilai kerja pembinaan tertinggi sebanyak RM6.9 bilion, diikuti Wilayah Persekutuan (RM5.3 peratus) dan Sarawak (RM3.6 bilion) yang secara kolektif menyumbang 51.9 peratus atau RM15.8 bilion.
“Kerja pembinaan bagi tiga suku tahun 2022 mencatatkan nilai RM89.9 bilion, merekodkan peningkatan sebanyak 6.6 peratus berbanding tempoh sama 2021,” katanya. – UTUSAN










