PETALING JAYA: Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia pada September lalu berjumlah RM161.7 bilion, meningkat 19.5 peratus berbanding bulan sama 2021.
Pertumbuhan nilai jualan tersebut dipacu oleh subsektor produk peralatan elektrik dan elektronik sebanyak 24.7 peratus; produk petroleum, kimia, getah dan plastik (27.2 peratus) dan produk makanan, minuman dan tembakau (7.1 peratus), lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Tambahnya, jumlah pekerja sektor pembuatan pada bulan dilaporkan adalah seramai 2.32 juta orang, bertambah 3.8 peratus berbanding 2.23 juta orang pada September 2021.
“Peningkatan ini disumbangkan oleh subsektor peralatan elektrik dan elektronik sebanyak 6.6 peratus; produk petroleum, kimia, getah dan plastik (2.5 peratus) dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (2.6 peratus),” katanya.
DOSM berkata, gaji dan upah yang dibayar pada bulan tersebut berjumlah RM7,884.5 juta meningkat 5.4 peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya.
Katanya, nilai jualan per pekerja pula tumbuh 15.1 peratus kepada RM69,787 berbanding bulan sama 2021, manakala purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,403.
Pada suku ketiga 2022 pula jelasnya, nilai jualan sektor pembuatan melonjak 22.5 peratus kepada RM467.6 bilion berbanding suku sama tahun sebelumnya.
“Pertumbuhan itu didorong oleh subsektor peralatan elektrik dan elektronik (25.5 peratus); produk petroleum, kimia, getah dan plastik (24.4 peratus); produk makanan, minuman dan tembakau (13.0 peratus).
“Bilangan pekerja dan gaji dan upah masing-masing naik 3.8 peratus dan 6.7 peratus pada suku ketiga 2022,” katanya.
DOSM menambah, bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, nilai jualan sektor pembuatan meningkat ketara sebanyak 17.6 peratus kepada RM1,326.3 bilion berbanding tempoh sama 2021.
Pada masa yang sama, bilangan pekerja meningkat sebanyak 3.8 peratus kepada 2.32 juta orang dengan gaji dan upak berkembang 5.3 peratus kepada RM70.2 bilion. Sementara nilai jualan per pekerja adalah RM572,452 tumbuh 13.3 peratus tahun ke tahun, katanya. – UTUSAN










