MISC catat untung operasi RM1.029 bilion pada suku ketiga

MISC catat untung operasi RM1.029 bilion pada suku ketiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MISC Berhad (MISC) mencatatkan untung operasi sebanyak RM1.029 bilion pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 September 2022, 112.7 peratus lebih tinggi berbanding RM484.3 juta yang dicapai bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Untung operasi yang lebih tinggi disebabkan terutamanya oleh pampasan sekali sahaja untuk rundingan semula kontrak dan kadar pengangkutan yang lebih tinggi dalam segmen petroleum dan penghantaran produk pada suku semasa.

Menurut syarikat itu, segmen kejuruteraan marin & berat juga melaporkan peningkatan dalam keuntungan operasi terutamanya daripada pemulihan tuntutan Covid-19 dan aktiviti dok kering yang lebih tinggi pada suku semasa.

Kumpulan turut melaporkan keuntungan sebelum cukai lebih tinggi sebanyak RM837.8 juta pada suku dilaporkan berbanding RM402.1 juta pada tahun sebelumnya, disumbangkan terutamanya oleh hasil yang lebih tinggi dan keuntungan operasi.

Pada suku tersebut, MISC merekodkan perolehan sebanyak RM3,614.1 juta, 34.3 peratus lebih tinggi daripada RM2,691.8 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022, Kumpulan mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM2 bilion, 27.5 peratus lebih tinggi daripada RM1.57 bilion yang direkodkan bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Kumpulan melaporkan keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah sebanyak RM1.22 bilion bagi tempoh tersebut berbanding RM1.34 bilion tahun sebelumnya, manakala hasil Kumpulan meningkatkan sebanyak 27.8 peratus kepada RM9.69 bilion daripada RM7.58 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Kapten Rajalingam Subramaniam berkata, MISC terus menunjukkan daya tahan dan menyampaikan prestasi kewangan suku ketiga yang sihat di tengah-tengah ketidaktentuan yang berterusan dalam industri.

“Berlandaskan rekod prestasi dan keupayaan kami yang terbukti, kami tetap teguh dalam melaksanakan projek kami yang sedang berjalan dengan disiplin dan fokus yang berterusan.”

“Kedudukan kewangan kami yang teguh meletakkan kami pada laluan progresif untuk menyampaikan nilai yang mampan kepada pemegang kepentingan kami,” katanya dalam kenyataani.

Tambahnya, dalam jangka terdekat, prospek kekal positif disokong oleh permintaan global yang semakin meningkat untuk gas asli cecair (LNG) di tengah-tengah krisis tenaga Eropah yang berterusan dan pelaburan infrastruktur LNG tambahan.

“Ini akan terus menyokong pertumbuhan LNG walaupun permintaan bertan mengalami tekanan daripada peralihan corak perdagangan ke jarak yang lebih pendek,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN