PETALING JAYA: Minetech Resources Berhad mencatatkan kenaikan hasil sebanyak 31.9 peratus kepada RM26.9 juta pada suku kedua berakhir 30 September 2022 (S2TK2022) daripada RM20.4 juta suku sama tahun kewangan lalu (S2TK2021).
Syarikat itu mencatatkan kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM1.5 juta bagi tahun kewangan ditinjau berbanding LBT RM4.7 juta pada S2TK2021.
Menurut syarikat kejuruteraan awam dan pengeluar produk bitumen itu, pada asas segmen, bahagian kejuruteraan awam mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 8.1 peratus kepada RM16.1 juta daripada RM14.9 juta suku sama tahun sebelumnya.
“Bahagian pembuatan, yang mengeluarkan produk bitumen untuk salutan paip, kalis air dan pengedap, mencatatkan peningkatan 166.7 peratus dalam hasil kepada RM7.2 juta berbanding RM2.7 juta pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.
“Bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 September 2023 (1H TK2023), Minetech mencatatkan peningkatan 36.9 peratus dalam hasil kepada RM50.9 juta berbanding RM37.2 juta pada 1H TK2022. Syarikat merekodkan LBT sebanyak RM3.1 juta dalam tempoh tinjauan berbanding RM9.1 juta pada 1H TK2022,” katanya.
Mengulas pencapaian itu, Pengarah Eksekutif Minetech, Matt Chin berkata, syarikat terus melihat prestasi
kewangan bertambah baik dengan kerugian yang lebih kecil daripada sumbangan hasil yang lebih tinggi daripada Lombong Emas Selinsing bahagian kejuruteraan awam berikutan peningkatan jumlah kerja serta daripada Lebuhraya Cheras-Kajang, Bukit Wangsa Brezza dan GM Emerald Square.
Kata beliau, syarikat telah melihat peningkatan ketara dalam sumbangan hasil daripada bahagian pembuatan terutamanya disebabkan oleh peningkatan dalam jualan enamel salutan dan produk asfalt yang ditiup akibat daripada permintaan yang lebih baik daripada pasaran domestik dan luar negara.
“Walaupun pertumbuhan ekonomi berada pada landasan yang lebih kukuh berdasarkan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga Malaysia, kami melihat peningkatan risiko kelembapan pada 2023 kerana ketidaktentuan global yang
berpunca daripada konflik Russia-Ukraine, kelembapan China dan tekanan inflasi terus mempengaruhi sentimen.
“Kami terus menekankan pelbagai langkah kawalan kos dan penjimatan tunai dan pada masa yang sama meneroka peluang yang telah menyaksikan kami menerokai teknologi dan inovasi serta menembusi aktiviti pembinaan peringkat kedua. Inisiatif ini telah membantu kami mengharungi badai dan terus mencipta nilai untuk pemegang saham dan lain-lain,” katanya. – UTUSAN










