PETALING JAYA: MIDF Research mengekalkan unjuran pertumbuhan eksport dan import negara masing-masing 26 peratus dan 30.5 peratus pada tahun ini.
Firma penyelidikan itu berkata, data terbaharu mendapati permintaan luar kekal kuku walaupun terdapat kebimbangan terhadap pertumbuhan global yang perlahan.
Katanya, kadar pertumbuhan dijangkakan lebih sederhana untuk kedua-dua eksport dan import dalam beberapa bulan terakhir 2022 apabila kesan asas rendah berkurangan.
“Bagi 10 bulan pertama tahun ini, eksport dan import masing-masing meningkat sebanyak 28.5 peratus dan 35.4 peratus tahun ke tahun.
“Sektor perdagangan berpeluang mendapat manfaat daripada kenaikan harga komoditi, peningkatan permintaan luar untuk E&E dan komoditi (iaitu petroleum dan minyak sawit) dan peningkatan berterusan dalam pengeluaran global dan aktiviti perdagangan antarabangsa.
“Import akan terus berkembang berikutan permintaan domestik yang semakin meningkat dan peningkatan aktiviti perniagaan dan perbelanjaan pengguna,” katanya dalam nota penyelidikan, semalam.
Firma penyelidikan itu berkata, terdapat beberapa risiko terhadap tinjauan perdagangan jangka pendek, kebanyakannya daripada ketidaktentuan luaran seperti kemerosotan dalam prospek pertumbuhan global, permintaan akhir yang lebih lemah akibat daripada kenaikan inflasi dan kos pinjaman dan peningkatan ketegangan geopolitik.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, eksport dan import bagi bulan seterusnya dijangka mengekalkan pertumbuhan positif seperti bulan-bulan sebelumnya.
Beliau berkata, ia didorong oleh permintaan yang tinggi ke atas barangan eksport Malaysia seperti E&E, harga komoditi seperti minyak dan gas yang kekal tinggi, ringgit yang masih rendah berbanding dollar Amerika Syarikat (AS) yang sekaligus menjadikan eksport kekal kompetitif.
“Namun ringgit yang melemah akan menyaksikan lebihan dagangan semakin mengecil disebabkan import yang semakin mahal. Cabaran ekonomi lebih kepada faktor global seperti pertumbuhan ekonomi yang perlahan disebabkan kenaikan kadar faedah di kebanyakan negara dagang Malaysia.
“Ini akan memberi kesan terhadap permintaan eksport tetapi kemungkinan tidak akan merencatkan pertumbuhan, sebaliknya pertumbuhan itu akan menjadi sedikit perlahan,” ujarnya.
Tambah beliau, pertumbuhan suku keempat dan tahun depan dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan menjadi lebih perlahan dari suku ketiga tetapi akan kekal positif.
“Walau bagaimanapun, saya melihat eksport negara akan kekal meningkat kerana permintaan terhadap barangan Malaysia akan berterusan ke tahun hadapan disebabkan permintaan yang tinggi ke atas barangan E&E dan juga ringgit yang kekal kompetitif sehingga tahun hadapan,” jelasnya. – UTUSAN










