PORT DICKSON: Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM17.23 bilion bagi membantu perniagaan tempatan berkembang maju sejak penubuhannya pada tahun 1960.
Timbalan Presiden Eksekutif MIDF, Ahmad Farok Mohamed berkata, jumlah berkenaan adalah setakat 31 Oktober yang lalu di mana secara keseluruhannya lebih 13,083 syarikat telah dibantu untuk lebih berdaya saing.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, untuk tahun ini sahaja dalam tempoh yang sama, MIDF telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM646.06 juta kepada 1,226 syarikat.
“Dalam tempoh lebih 60 tahun, MIDF telah berkembang kepada tiga tonggak utama iaitu kewangan pembangunan, bank pelaburan dan pengurusan aset. Misi kami adalah untuk membantu pelanggan dalam merebut peluang, serta untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara, dengan menyediakan produk dan perkhidmatan dalam tiga tonggak utama tersebut.
“Kami akan terus progresif dan inovatif dalam menggunakan kepakaran kami dalam pasaran modal untuk merebut peluang yang mengukuhkan kedudukan kami dalam industri kewangan dan perbankan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita di booth pameran MIDF sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2022 di Kawasan Lapang Pantai Batu 1, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Farok mengalu-alukan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) untuk membuat pelaburan melalui MIDF sejajar dengan hasrat penubuhannya bagi membantu sektor korporat termasuk IKS.
“Kekuatan kami adalah khidmat pelaburan kepada IKS supaya dapat lebih berkembang maju. Terdapat kriteria yang ditetapkan antaranya yang utama ialah 50 peratus dari pemegang saham haruslah merupakan warganegara Malaysia,” katanya.
Menurutnya lagi, sektor korporat dan usahawan IKS yang berminat boleh membuat permohonan secara atas talian atau tampil ke mana-mana cawangan MIDF berhampiran tempat tinggal mereka.-UTUSAN.