PETALING JAYA: Komited dalam memenuhi keperluan pelanggannya, MBSB Bank Berhad memulakan perkhidmatan perbankan hujung minggu dengan mengendalikan tiga cawangannya pada dua hari Sabtu pada bulan ini.
Inisiatif perbankan hujung minggu adalah untuk menyediakan pelanggan dengan perkhidmatan seperti pembukaan akaun, pembiayaan, takaful serta permohonan dan pengeluaran kad debit.
Berkongsi pendapatnya mengenai inisiatif itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, sebagai sebuah institusi kewangan, adalah menjadi kewajipan untuk sentiasa menyemak dan menambah baik perkhidmatan cawangan bank agar sesuai dengan keperluan perbankan pelanggan.
“Kami gembira dapat membantu pelanggan walaupun pada hujung minggu. Masa adalah komoditi yang berharga dan kami berharap pelanggan kami akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini, sambil menyediakan peluang perbankan baharu kepada orang ramai dan bakal pelanggan daripada aktiviti perbankan hujung minggu,” katanya.
MBSB Bank menawarkan kelulusan pantas untuk permohonan pembiayaan peribadi-i dan kadar istimewa untuk Deposit Bertempoh-inya iaitu sehingga 5.90 peratus setahun.
Cawangan MBSB Bank di PJ Sentral, Pulau Pinang dan Johor Bahru akan dibuka dari pukul 9 pagi hingga 3 petang pada 5 November dan 26 November ini.
Sementara itu, orang ramai juga digalakkan untuk menyertai kempen ‘SIMPAN BERGANDA MENANG BERGAYA 2.0 CASA-i’ MBSB Bank yang berlangsung sehingga 31 Mei 2023.
Kempen itu menawarkan hadiah bernilai RM2.4 juta seperti pakej pelancongan Eropah atau Umrah, kereta mewah seperti Mercedes Benz A 200 Progressive Line, Mercedes Benz C 200 Avantgarde Line, Mercedes Benz GLC 300e Coupe, nuget emas, iPhone, wang tunai dan banyak lagi. – UTUSAN










