PETALING JAYA: Matrix Concepts Holdings Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM49.7 juta bagi suu kedua tahun kewangan berakhir 30 September 2022, turun 1.4 peratus berbanding RM50.4 juta yang direkodkan tempoh sama tahun sebelumnya.
Menurut makluman di Bursa Malaysia, margin keuntungan syarikat bagaimanapun lebih baik pada suku tersebut iaitu pada 22.4 peratus berbanding 21.1 peratus tahun sebelumnya berikutan perbelanjaan cukai yang lebih rendah.
Kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM222.4 juta pada suku dilaporkan, jatuh 7.2 peratus daripada RM239.5 juta pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.
Katanya, hasil secara relatifnya kekal sihat walaupun menghadapi cabaran berterusan akibat kekurangan tenaga buruh yang telah menjejaskan aktiviti pembinaan terutama dalam tempoh 12 bulan lalu.
“Hasil daripada pembangunan utama Kumpulan, Sendayan Developments adalah pada RM183.1 juta pada suku tersebut, lebih rendah sebanyak 14 peratus daripada RM211.3 juta yang dilaporkan tahun lalu.
“Bagaimanapun, ia diimbangi oleh sumbangan daripada perbandaran Kluang Kumpulan, Bandar Seri Impian yang menyaksikan peningkatan hasil sebanyak 82.1 peratus kepada RM18.5 juta bagi suku tersebut,” katanya, semalam.
Sementara itu, The Chambers, pembangunan sulung Kumpulan di Lembah Klang mencatatkan hasil sebanyak RM10.8 juta, meningkat 1.7 peratus.
Tambahnya, hartanah kediaman kekal sebagai pembekal terkuat Kumpulan, menyumbang 93.1 peratus atau berjumlah RM207 juta daripada hasil Kumpulan bagi suku dikaji kerana pembeli rumah kekal tertarik dengan cadangan nilai penawaran produk syarikat.
Jelasnya, hasil daripada hartanah komersial dan perindustrian ketara lebih rendah sebanyak 85.9 peratus pada RM5.3 juta berikutan pelancaran produk komersial yang lebih rendah pada tahun kewangan semasa, serta inventori produk perindustrian yang terhad apabila pembangunan Sendayan Tech Valley semakin hampir dimuktamadkan.
“Di samping itu, jualan belum dibil Kumpulan sebanyak RM1.4 bilion pada 30 September 2022 memberikan keterlihatan pendapatan yang selamat dalam tempoh 12 hingga 15 bulan akan datang,” ujarnya. – UTUSAN










