Malaysia rekod 597 kematian akibat Covid-19, suku ketiga 2022

Malaysia rekod 597 kematian akibat Covid-19, suku ketiga 2022

MALAYSIA kini mencatatkan jumlah kematian sebanyak 36,548 kes setakat 13 November 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia merekodkan sebanyak 597 kematian akibat Covid-19 pada suku tahun ketiga 2022, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Jumlah itu bagaimanapun menurun berbanding 21,104 kematian yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya, jelas laporan berkenaan.

Menurut DOSM, kematian disebabkan Covid-19 menyumbang 1.2 peratus daripada keseluruhan jumlah kematian bagi suku dilaporkan, dengan Selangor merekodkan kematian tertinggi dengan 131 kematian, manakala tiada kematian direkodkan di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Sejumlah 50,276 kematian telah direkodkan pada suku tahun ketiga 2022, penurunan 31.7 peratus berbanding suku tahun ketiga 2021 sebanyak 73,606 kematian.

“Bilangan kematian bagi lelaki adalah 28,533 berbanding kematian bagi perempuan 21,743 kematian. Selangor mencatatkan kematian tertinggi sebanyak 7,744 kematian (15.4 peratus), manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 58 kematian (0.1 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, DOSM melaporkan, jumlah kelahiran hidup pada suku ketiga 2022 menurun 3.0 peratus kepada 109,397 daripada 112,776 kelahiran tempoh sama 2021.

Jelasnya, kelahiran bayi lelaki mengatasi perempuan sebanyak 56,572 berbanding 52,825 kelahiran, dengan Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi dengan 22,260 kelahiran (20.3 peratus), manakala kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak 376 kelahiran (0.3 peratus).

Bagi tempoh suku ketiga tahun ini, DOSM berkata, penduduk Malaysia dianggarkan berjumlah 32.9 juta, meningkat 0.9 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya, merangkumi 30.3 juta atau 92.2 peratus warganegara dan 2.6 juta atau 7.8 peratus bukan warganegara.

Jelas DOSM, penduduk lelaki meningkat daripada 17.1 juta kepada 17.3 juta, manakala perempuan meningkat daripada 15.5 juta kepada 15.6 juta, berbanding suku tiga 2021.

“Nisbah jantina adalah 111 lelaki bagi setiap 100 perempuan. Tiga negeri mencatatkan jumlah penduduk tertinggi pada suku tahun ketiga 2022 iaitu Selangot sebanyak 21.6 peratus, diikuti Johor (12.3 peratus dqn Sabah (10.4 peratus),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN