Keuntungan suku ketiga GCB susut 10.7% kepada RM30.4 juta

Keuntungan suku ketiga GCB susut 10.7 peratus kepada RM30.4 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keuntungan bersih Guan Chong Berhad (GCB) pada suku ketiga berakhir 30 September 2022 (3Q2022) susut sebanyak 10.7 peratus kepada RM30.4 juta daripada RM34.5 suku sama tahun sebelumnya.

Menurut GCB yang juga pengisar koko keempat terbesar dunia, penyusutan itu disebabkan oleh kenaikan kadar faedah dan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS).

Selain itu, kos tenaga yang lebih tinggi di kilang coklat perindustrian Kumpulan di Jerman, turut menjejaskan keuntungan keseluruhan Kumpulan yang terjejas akibat ketegangan Ukraine-Russia.

“Syarikat merekodkan keuntungan yang lebih rendah meskipun mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 10.3 peratus kepada RM1.1 bilion daripada RM998.1 juta tahun lalu.

“Hasil yang lebih tinggi disebabkan oleh jualan purata harga koko yang lebih tinggi dan peningkatan jualan sebanyak 5.2 peratus tahun ke tahun,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas perkembangan itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GCB, Brandon Tay Hoe Lian berkata, operasi Kumpulan menghadapi dinamik pasaran yang berubah dengan pantas, seperti peningkatan kadar faedah dan kos tenaga yang semakin meningkat di Eropah.

Walau bagaimanapun kata beliau, Kumpulan mengekalkan keuntungan untuk 2022 setakat ini.

“Kami berhati-hati terhadap cabaran, dan akan terus menumpukan pada kecekapan operasi untuk mengekalkan margin keuntungan. Kami turut menyasarkan untuk mendapatkan lebih banyak jualan hadapan bagi kemudahan kami di Ivory Coast selain kilang di Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Menurut GCB, pada suku dilaporkan, kenaikan dolar telah mengakibatkan kerugian pertukaran asing tidak direalisasi sebanyak RM17.1 juta sebagai hasil daripada peminjaman Kumpulan dalam dolar.

Untuk sembilan bulan berakhir 30 September 2022 (9M22) lalu, hasil Kumpulan meningkat 16.0 peratus kepada RM3.3 bilion daripada RM2.8 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu. Keuntungan bersih pula meningkat 22.8 peratus kepada RM128.6 juta daripada RM104.7 juta sebelumnya.

“Hasil yang lebih tinggi disokong oleh peningkatan sebanyak 11.7 peratus dalam jumlah jualan terkumpul tahun ke tahun,” katanya.

Mengenai prospek, GCB kekal optimis kerana Kumpulan terus menerima tempahan yang akan meningkatkan jualan hadapan ramuan kokonya untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

“Ia adalah petunjuk permintaan berdaya tahan berterusan untuk koko, disokong oleh pemulihan dalam perjalanan udara global dan pelancongan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN