Kenaikan OPR atasi kelemahan ringgit

Kenaikan OPR atasi kelemahan ringgit

ringgit
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus untuk menangani risiko kelemahan ringgit dan pelaburan asing yang beralih kepada Amerika Syarikat (AS) berikutan pengukuhan dolar.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul La­tiff berkata, inflasi negara masih rendah kerana kenaikan indeks harga pengeluar yang memberi gambaran peningkatan inflasi juga makin perlahan.

“Inflasi bukan masalah utama dalam keadaan ekonomi semasa negara, jadi pada pendapat saya OPR masih dinaikkan kerana tindakan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang agresif menaikkan kadar faedah di negara itu.

“Ini bakal menyebabkan pen­geluaran pelaburan secara besar-besaran daripada pasaran Bursa Malaysia dan kita perlu cuba menarik semula minat pelabur luar. Justeru, saya lihat kenaikan kali ini lebih kepada faktor luaran bagi membendung kelemahan ringgit dan peralihan pelaburan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Khamis lalu, Mesyuarat Dasar Monetari (MPC) BNM membuat keputusan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, kenaikan keempat berturut-turut bagi tahun ini.

Kenaikan kali keempat berturut-turut itu juga adalah pertama kali sejak penanda aras kadar faedah pinjaman tempatan itu diperkenalkan pada 2004.

Berikutan kenaikan terbaharu itu, kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 3.00 peratus dan 2.50 peratus.

Menurut Ahmed Razman, peningkatan OPR kali ini sudah tentu memberi impak kepada peminjam terutamanya mereka yang mempunyai pinjaman jangka panjang termasuk pinjaman peribadi dan perumahan.

“OPR bagi tahun ini sahaja sudah meningkat sebanyak 1.0 peratus dan jika kita membuat pinjaman perumahan bernilai RM300,000, bayaran ansuran bulanannya telah meningkat sehingga RM250 daripada bayaran bulanan asal.

“Ini memberi kesan kepada peniaga yang mempunyai pinjaman perniagaan kerana mereka baru sahaja cuba pulih daripada impak pandemik, namun terpaksa berhadapan dengan peningkatan ansuran bulanan,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Muhammad Daaniyall Abd. Rahman berkata, melihat kepada situasi kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua yang memberangsangkan, kadar inflasi pada September 2022 juga telah menunjukkan trend yang semakin baik.

“Justeru, peningkatan OPR kali ini dijangka lebih berpe­ranan sebagai alat penstabil yang boleh terus melancarkan proses pemulihan ekonomi secara keseluruhannya.

“Bagi rakyat pula, kesan OPR yang dinaikkan telah dirasai dengan kadar inflasi yang lebih terkawal di samping usaha kerajaan menambah subsidi melalui intervensi fiskal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN