PETALING JAYA: K-FOOD Fair 2022 untuk perniagaan (B2B) yang dihoskan oleh Korea Agro-Fisheries & Food Trade Corporation menerima lebih 90 penyertaan daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan serta berjaya memuktamadkan sebanyak 20 tawaran dan perkongsian dengan syarikat-syarikat Korea.
Acara kali kelima itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar Korea Selatan, mempamerkan produk pertanian dan perikanan berkualiti tinggi Korea, dengan format B2B (persidangan perniagaan eksport) serta B2C (pesta makanan istimewa untuk pengguna).
Pada 26 Oktober, sejumlah 12 Memorandum Kesepakatan bernilai AS$2.88 juta ditandatangani manakala lapan lagi memorandum bernilai AS$3.5 juta ditandatangani pada hari seterusnya.
Naib Presiden Eksekutif Bahagian Perdagangan dan Industri Makanan, Ki No Sun berkata, populariti K-Food dipercayai sebahagian besarnya dipengaruhi oleh Korean Wave yang menjadi pusat trend global.
“Keselesaan dan rasa ingin tahu tentang budaya Korea, makanan dan juga sentimen Korea secara semula jadi tersebar terutamanya melalui kandungan media.
“Selain itu, kualiti produk Korea dan pengurusan keselamatan makanan mencipta kesan sinergi yang ketara,” katanya dalam kenyataan.
Antara produk yang paling popular di kalangan pembeli di Malaysia termasuk buah-buahan segar Korean Shine Muscat dan Pear kerana tekstur dan rasanya yang enak dan lembut, selain ramen, pelbagai minuman dan juga kicap soya.
Ketua Penolong Pengarah Kanan, Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC), Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama dan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Mohd. Fakarudin Masod berkata, pihaknya menggalakkan mana-mana syarikat Korea Selatan yang mempunyai produk atau rangkaian produk berkualiti tinggi mengeksport ke Malaysia.
“Anda boleh berbuat demikian dengan memohon sijil Halal Malaysia melalui JAKIM terlebih dahulu.
“Ini membantu dalam meningkatkan taraf produk anda selain menjadikan produk atau jenama anda lebih berprestij kerana ia telah melalui proses yang ketat sekali gus membuktikan produk anda sememangnya mempunyai kualiti yang sangat baik,” ujarnya.
Korea Agro-Fisheries & Food Trade Corporation kini dalam peringkat perancangan untuk menganjurkan acara itu setiap dua tahun sekali untuk membantu perniagaan Malaysia mengimport lebih banyak produk Korea yang berkualiti tinggi dan baharu, termasuk produk halal, dan meluaskan lagi K-FOOD Fair melalui pelbagai acara kebudayaan setiap tahun di Malaysia dan juga di negara-negara ASEAN. – UTUSAN










