PETALING JAYA: UMW Toyota Motor (UMWT) mencatatkan jualan kenderaan bagi Toyota dan Lexus sebanyak 80,153 unit dalam tempoh 10 bulan pertama 2022, meningkat 47 peratus berbanding 54,618 unit yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu.
UMWT dalam kenyataan berkata, Toyota kekal menjadi peneraju kenderaan jenama bukan nasional dengan jumlah keseluruhan jualan sebanyak 79,308 unit bagi tempoh dilaporkan.
Jelasnya, syarikat secara konsisten menjadi peneraju pasaran sepanjang tahun terutamanya dalam segmen trak pikap.
Tambahnya, jumlah jualan kenderaan baharu pada Oktober yang dihantar oleh UMWT adalah 9,281 unit, iaitu Toyota sebanyak 9,175 unit dan Lexus (106), naik 0.5 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Peningkatan itu lebih ketara berbanding jualan pada Oktober 2021 iaitu sebanyak 8,500 kenderaan Toyota dan Lexus, naik sembilan peratus.
Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K berkata, pasaran kereta mengalami pemulihan secara berterusan sepanjang tahun walaupun berdepan dengan keadaan ekonomi yang mencabar.
“Terima kasih atas sokongan pelanggan setia kami, permintaan untuk kenderaan Toyota kekal tinggi dan bagi mereka yang terpaksa menunggu lebih lama untuk kenderaan baharu, kami bekerja keras untuk memastikan penghantaran kenderaan mereka sepantas mungkin.
“Pengeluaran kami masih terjejas sebahagiannya tetapi yakinlah bahawa kami melakukan yang terbaik untuk menghantar kenderaan baharu secepat mungkin,” katanya.
Sementara itu, Ravindran berkata, Toyota Veloz yang dilancarkan pada Oktober mendapat sambutan positif dengan menerima tempahan lebih 7,000 walaupun sebelum modal tersebut dilancarkan.
Tambahnya, UMWT turut mengadakan promosi hebat dengan ansuran bulanan yang rendah bermula daripada RM498 untuk Toyota Yaris dan RM598 untuk Toyota Vios sempena menyambut musim perayaan akhir tahun.
“Bagi varian terpilih kedua-dua model, terdapat juga tawaran promosi tambahan sebanyak RM4,000,” ujarnya. – UTUSAN










