NationGate, M&A Secutires tandatangan perjanjian penajajaminan

IPO: NationGate, M&A Secutires tandatangan perjanjian penajajaminan

MAJLIS menandatangani perjanjian penajajaminan antara NationGate Holdings dan M&A Securities untuk penyenaraian NationGate Holdings di Bursa Securities.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), NationGate Holdings Berhad (NationGate) menandatangani perjanjian penajajaminan dengan M&A Securities Sdn. Bhd. (M&A Securities) untuk penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).

Tawaran awam permulaan (IPO) itu terdiri daripada terbitan awam sebanyak 435.5 juta saham baharu dalam NationGate dan tawaran untuk jualan sebanyak 290.4 juta saham sedia ada.

Menurut kenyataan NationGate, selaras dengan perjanjian itu, M&A Securities akan menaja jamin sejumlah 207.4 juta saham baharu yang disediakan kepada orang awam, pengarah dan kakitangannya yang layak serta individu yang telah menyumbang kepada kejayaan NationGate di bawah Peruntukan Borang Merah Jambu.

Jelasnya, baki 228.1 juta saham baharu juga akan diberikan kepada pelabur terpilih.

“Bagi bahagian tawaran untuk jualan, kesemua 290.4 juta saham akan diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Selain menjadi penaja jamin IPO, M&A Securities juga merupakan penasihat, penaja dan ejen penempatan untuk penyenaraian tersebut,” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Urusan NationGate, Ooi Eng Leong berkata, pemeteraian perjanjian itu bukan sahaja menguatkan keyakinan penaja jamin terhadap NationGate, tetapi turut membawa syarikat semakin hampir ke arah penyenaraian di Bursa Securities selepas berkembang secara organik selama 12 tahun lalu sejak penubuhannya.

Paling ketara kata beliau, syarikat telah mengembangkan keupayaan EMSnya untuk memasukkan perkhidmatan sokongan nilai tambah seperti pengacuan suntikan plastik berketepatan tinggi, prototaip untuk kebolehkilangan, pengurusan rantaian bekalan dan pembungkusan.

Malah, pada 2020, syarikat juga telah mengembangkan perkhidmatan EMSnya dalam industri semikonduktor.

“Dengan menjadi entiti tersenarai, kami berharap dapat meningkatkan lagi keyakinan dalam kalangan pelabur, pemegang kepentingan dan pelanggan kami sambil kami terus berusaha ke arah meningkatkan nilai jangka panjang syarikat dengan menyediakan produk dan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan,” katanya.

Tambah beliau, penyenaraian itu akan membolehkan syarikat memanfaatkan pasaran modal ekuiti untuk mengumpul dana bagi keperluan modal kerja bagi membeli pelbagai bahan mentah, bahan guna dan komponen elektronik bagi kegunaan aktiviti EMS syarikat seiring dengan pertumbuhan yang dijangka dalam aktiviti perniagaan itu.

“Sebahagian daripada hasil juga akan digunakan untuk membeli jentera dan peralatan baharu untuk mengembangkan kapasiti pemasangan teknologi pelekap permukaan kami, membayar balik pinjaman bank dan untuk membayar anggaran perbelanjaan penyenaraian untuk IPO,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN