PETALING JAYA: Indeks Pengeluran Perindustrian (IPP) meningkat 10.8 peratus pada September, berbanding bulan sama tahun sebelumnya.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pengembangan IPP itu disumbangkan oleh sektor perlombongan sebanyak 15 peratus, pembuatan (10.4 peratus) dan elektrik (4.1 peratus).
Jelasnya, subsektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan itu adalah produk peralatan elektrik dan elektronik (15.5 peratus); produk petroleum, kimia, getah dan plastik (6.5 peratus) dan produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (21.6 peratus)
“Peningkatan dalam sektor perlombongan dipacu oleh pengembangan 21.0 peratus dalam indeks gas asli dan 7.2 peratus dalam indeks minyak mentah dan kondensat,” katanya dalam kenyataan.
DOSM berkata, pertumbuhan sektor pembuatan didorong oleh kedua-dua industri berorientasikan domestik (11.2 peratus) dan industri berorientasikan eksport (10.1 peratus).
Tambahnya, pertumbuhan bagi industri berorientasikan domestik disumbangkan terutamanya oleh pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler serta pembuatan produk prosesan makanan.
Sementara itu katanya, peningkatan bagi industri berasaskan eksport didorong oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal dan pembuatan kok dan produk petroleum bertapis.
“Prestasi sektor pembuatan ini juga selari dengan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan,” katanya.
DOSM melaporkan, IPP bagi suku tahun ketiga 2022 berkembang 12.2 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, disumbangkan oleh pertumbuhan dalam indeks pembuatan sebanyak 13.4 peratus, indeks elektrik (9.0 peratus) dan indeks perlombongan (8.6 peratus).
IPP bagi tempoh Januari hingga September 2022 merekodkan pengembangan 7.9 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
“Peningkatan disokong oleh indeks pembuatan (9.7 peratus), indeks elektrik (6.3 peratus) dan indeks perlombongan (1.6 peratus),” ujarnya. – UTUSAN










