PETALING JAYA: Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPRP) bagi suku ketiga (S3) 2022 meningkat 3.0 peratus kepada 113.8 berbanding 110.5 pada suku sama tahun sebelumnya, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurut DOSM, peningkatan itu didorong terutamanya oleh indeks Keseniaan, Hiburan dan Rekreasi meningkat 7.5 peratus, diikuti Penginapan dan AKtiviti Perkhidmatan Makanan dan Minuman (7.0 peratus), Pengangkutan (4.9 peratus) dan Pendidikan (1.1 peratus).
Manakala subsektor Profesional dan Kesihatan masing-masing meningkat sebanyak 0.4 peratus, diikuti Aktiviti Hartanah (0.3 peratus).
“Bagaimanapun indeks Maklumat dan Komunikasi kekal tidak berubah,” katanya dalam kenyataan.
Tambah DOSM, bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, IHPRP meningkat kepada 1.7 peratus.
Peningkatan disumbangkan oleh subsektor Keseniaan, Hiburan Rekreasi (4.3 peratus), Pengangkutan (4.1 peratus); Penginapan, Aktiviti Perkhidmatan Makanan dan Minuman (2.5 peratus) serta Pendidikan (0.3 peratus).
“Manakala indeks bagi subsektor Profesional dan Kesihatan masing-masing mencatatkan sedikit peningkatan sebanyak 0.1 peratus. Sementara itu, tiada perubahan dicatatkan bagi indeks subsektor Aktiviti Hartanah dan Maklumat & Komunikasi,” katanya. – UTUSAN










