PETALING JAYA: Iskandar Investment Berhad (IIB) ingin menarik perhatian orang ramai berkenaan skim penipuan atau ‘scam’ yang sedang berleluasa di media sosial terutamanya aplikasi Telegram.
Menurut IIB, anggota sindiket atau ‘scammer’ itu menyamar sebagai saluran komunikasi rasmi IIB atau kakitangan IIB untuk menarik orang ramai mengambil bahagian dalam peluang pelaburan palsu.
“Kami ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa IIB mahupun anak syarikat di bawah IIB tidak terlibat sama sekali dalam apa jua cara permintaan wang atau pelaburan daripada orang ramai.
“Pihak kami ingin menegaskan bahawa penipuan dan skim yang berleluasa ini tidak ada kaitan dengan IIB dalam apa cara sekalipun. Kami juga telah membuat laporan polis mengenai perkara ini,” kata syarikat itu dalam kenyataan.
IIB turut menggalakkan orang ramai menyemak laman Facebook Amaran Scam oleh Bank Negara Malaysia (BNM), serta Cyber Crime Alert dan Semak Mule oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk maklumat terkini.
Syarikat itu turut menggesa mangsa penipuan untuk segera membuat laporan di Pusat Respons Scam Kebangsaan (National Scam Response Centre (NSRC), pusat operasi untuk menyelaraskan tindak balas pantas terhadap penipuan kewangan dalam talian, yang diusahakan oleh BNM melalui talian 997 untuk mengelak sebarang kerugian selanjutnya.
“Sementara itu, kami menggesa orang ramai agar berhati-hati dan tidak menjadi mangsa skim penipuan ini atau sebarang skim penipuan lain. Marilah kita semua terus berwaspada dan membenterai penipuan sebegini,” katanya. – UTUSAN










