32,873 hektar hutan diwarta sebagai hutan simpanan kekal 

IC-CFS: 32,873 hektar hutan diwarta sebagai hutan simpanan kekal 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga & Sumber Asli (KeTSA) berjaya mewartakan kawasan hutan tanah kerajaan seluas 32,873 hektar sebagai hutan simpanan kekal (HSK) melalui projek Menambak Ketersambungan di Central Forest Spine (IC-CFS).

Menurut Ketua Setiausaha KeTSA, Datuk Rosli Isa, selain pewartaan kawasan hutan berkenaan, antara kejayaan lain sepanjang penganjuran IC-CFS ialah rondaan integrasi berasaskan sistem SMART dalam aktiviti penguatkuasaan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Perak dan Johor.

Selain itu katanya, program berkenaan turut berjaya meningkatkan taraf hidup komuniti hutan seperti komuniti orang asli melalui projek sara hidup dan pembentukan rancangan pengurusan rangkaian ekologi.

Beliau berkata, projek terbabit mula dilaksanakan sejak 2014 dan telah mendapat pembiayaan daripada Global Environment Facility (GEF) sebanyak AS$10.86 juta (RM48.96 juta).

“Lanjutan dari kejayaan projek ini, IC-CFS telah diluluskan untuk dilanjutkan sehingga 31 Disember 2023.

“Ia adalah daripada hasil kerja keras pelbagai pihak dalam memastikan segala sasaran tercapai selaras dengan Rangka Kerja Keputusan Strategik dalam mendukung projek kebangsaan Central Forest Spine,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pameran projek Menambahbaik Ketersambungan di IC-CFS yang mengetengahkan kejayaan pelbagai inisiatif dilaksanakan di bawah projek terbabit.

Sebanyak sembilan pembentangan telah dilaksanakan dalam merumuskan kejayaan segala aktiviti dilaksanakan sepanjang tempoh dua tahun program itu.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Indera Mohd. Ridza Awang dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar & Perancangan) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Pengarah Projek Kebangsaan IC-CFS , Datuk Zahari Ibrahim serta Pengurus Projek IC-CFS, Dr. Samsudin Musa.

Sementara itu, Zahari berkata, dalam melaksanakan projek berskala besar, setiap perincian amat dititik-beratkan dalam memastikan kelangsungan dan kelancaran projek tersebut.

Sehubungan itu, katanya, projek telah dibahagikan kepada tiga komponen utama iaitu perancangan, pemantauan pematuhan dan rangka kerja penguatkuasaan untuk pengurusan landskap hutan bersepadu.

“Komponen kedua, pengurusan landskap hutan lestari bagi tiga landskap hutan utama dalam Central Forest Spine. Dan komponen ketiga, kepelbagaian sumber pembiayaan untuk pemuliharaan biodiversiti.

“Melalui pameran ini, ia mampu menjadi platform penyebaran maklumat yang berguna kepada pihak berkepentingan. Pada masa yang sama, memberi ruang maklum balas antara IC-CFS dan pihak terlibat dalam memastikan objektif projek tercapai,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN