PETALING JAYA: Hartalega Holdings Berhad (Hartalega) mencatat untung selepas cukai berjumlah RM29.4 juta bagi suku kedua berakhir 30 September 2022.
Untung sebelum cukai pula adalah sebanyak RM37.3 juta dan hasil yang diperolehi berjumlah RM584.6 juta.
Bagi suku kedua tahun kewangan dilaporkan, hasil Kumpulan terjejas akibat harga jualan purata (ASP) yang lebih rendah, di samping penurunan tahap jualan sebanyak 27 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Kos tenaga yang semakin meningkat seperti tarif gas asli yang semakin tinggi dan langkah kerajaan memperkenalkan dasar gaji minimum terus menghimpit prestasi Kumpulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega, Kuan Mun Leong berkata, seperti yang dijangkakan, Hartalega tidak terlepas daripada situasi bekalan berlebihan yang wujud di peringkat global.
Namun ujarnya, Kumpulan yakin dapat mengatasi segala cabaran menerusi proses pengurangan kapasiti yang akan diteruskan dan pasaran mula mencapai keseimbangan.
“Kami telah mengambil pendekatan strategik untuk menjajarkan semula rancangan pembangunan Kompleks Pengilangan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC) 1.5 berasaskan situasi penawaran dan permintaan pasaran semasa.
“Pada masa sama, kami akan meneruskan usaha untuk meningkatkan kelebihan daya saing kami. Ini termasuk meningkatkan proses automasi untuk memaksimumkan produktiviti dan juga mengoptimumkan tenaga dan kos,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menjelaskan, walaupun menghadapi tahap inventori yang tinggi dan persaingan yang lebih sengit dalam industri, pihaknya tetap yakin dengan prospek jangka panjang Kumpulan kerana penggunaan sarung tangan global dijangka meningkat di pasaran-pasaran sedang membangun yang menunjukkan tahap penggunaan sarung tangan masih rendah pada masa ini.
“Tahap kesedaran yang lebih tinggi terhadap kebersihan dan kesihatan dalam kalangan pengamal kesihatan juga akan meningkatkan permintaan dan pertumbuhan jualan sarung tangan dalam jangka panjang.
“Dengan itu, kami tetap yakin dengan prospek jangka panjang sektor ini. Kami berharap persekitaran yang sesuai dan dasar mesra perniagaan di Malaysia dapat diteruskan bagi memastikan sektor yang penting ini kekal kompetitif berbanding pesaing dari negara-negara lain,” ujarnya.
Pendapatan sesaham bagi suku tahun dilaporkan berjumlah 0.83 sen manakala nilai aset bersih sesaham berjumlah RM1.46 pada 30 September 2022. – UTUSAN










