JAKARTA: Syarikat internet terbesar Indonesia, GoTo Group akan mengurangkan seramai 1,300 pekerjaan dalam usaha memotong perbelanjaan dan meredakan kebimbangan pelabur terhadap kerugian yang semakin meningkat, lapor Bloomberg.
Menurut kenyataan GoTo, jumlah terbabit mewakili kira-kira 12 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja syarikat itu.
“Syarikat ride-hailing, e-dagang dan teknologi kewangan itu akan mula memberitahu pekerja yang terjejas serta-merta,” jelas laporan itu.
Tambahnya, GoTo menyertai gergasi teknologi seperti Apple Inc dan Meta Plaform Inc dalam mengurangkan kakitangan atau memperlahankan pengambilan pekerja dan bersiap sedia untuk menghadapi masa hadapan yang sukar.
Pengurangan pekerjaan dalam industri semakin menghampiri tahap di peringkat awal pandemik Covid-19, kerana syarikat teknologi di seluruh dunia menghadapi kesan iklim ekonomi yang merosot dan tumpuan tinggi pelabur terhadap keuntungan.
“Sea Ltd., syarikat teknologi terbesar Asia dilaporkan telah memberhentikan 7,000 pekerjanya dalam tempoh enam bulan lalu,” kata laporan itu memetik sumber.
Dibentuk pada awal 2022 melalui penggabungan penyedia perkhidmatan pengangkutan Gojek dan firma e-dagang Tokopedia, GoTo menjadi antara tawaran awam permulaan (IPO) terbesar tahun itu, dan sejak itu sahamnya telah kehilangan hampir 40 peratus.
Kenyataan GoTo itu mengesahkan laporan awal Bloomberg News mengenai pemberhentian pekerja syarikat tersebut.
Pelan itu menekankan usaha untuk mengurangkan perbelanjaan operasi ketika syarikat bersedia mengumumkan keputusan suku tahunan berikutnya pada 21 November ini.
Pada Ogos, GoTo melaporkan kerugian pelarasan suku kedua sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan melebar kepada 4.14 trilion rupiah (AS$264 juta/RM1.2 bilion) daripada kerugian pro-forma sebanyak 3.9 trilion rupiah setahun sebelumnya.
Syarikat itu berkata, “ia mesti mempercepatkan kemajuan ke arah menjadi perniagaan yang benar-benar mampan dan bebas dari segi kewangan, berpaksikan kepada penawaran teras atas permintaan, e-dagang dan perkhidmatan teknologi kewangan”.
GoTo dan syarikat setara yang disenaraikan iaitu Sea dan Grab Holdings Ltd., kesemuanya mengalami kerugian dengan menyaksikan penurunan penilaian disebabkan kelembapan ekonomi, kenaikan kadar faedah dan inflasi yang semakin pantas.
Eksekutif GoTo berkata, mereka cuba mengimbangi perbelanjaan untuk pertumbuhan dengan berusaha mencapai keuntungan. – AGENSI










