Firefly, Touch ‘n Go eWallet tawar diskaun tambang 20 peratus

Firefly, Touch ‘n Go eWallet tawar diskaun tambang 20 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Firefly, syarikat penerbangan Malaysia Aviation Group (MAG), menjalinkan kerjasama dengan Touch ‘n Go eWallet bagi menawarkan diskaun eksklusif 20 peratus untuk semua tambang asas bagi penerbangan Firefly terpilih.

Pengguna Touch ‘n Go eWallet boleh menempah penerbangan dengan mudah melalui ikon Firefly pada Touch ‘n Go eWallet aplikasi mulai 23 hingga 29 November ini untuk penerbangan dari Subang ke Pulau Pinang dan Seletar, Singapura pada 30 November 2022.

Kedua-dua penerbangan menggunakan pesawat jenis ATR 72-500 turboprop, yang menggunakan campuran bahan api kira-kira 38 peratus bahan api penerbangan mampan (SAF) dan jet konvensional.

SAF adalah 100 peratus dihasilkan daripada sumber yang mampan, diadun dengan bahan api jet konvensional.

SAF telah terbukti memberi manfaat yang ketara kepada alam sekitar kerana ia mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sehingga 80 peratus sepanjang kitaran hayat bahan api berbanding bahan api jet tradisional.

Ketua Pegawai Eksekutif Firefly dan Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan MAG, Philip See berkata, selaras dengan komitmen Firefly untuk menyokong MAG dalam mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan Touch ‘n Go eWallet bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan pelanggan mengenai persekitaran yang lebih selamat.

“Kerjasama ini adalah permulaan ke arah pendekatan penyelesaian masalah holistik yang melibatkan pelbagai pihak dalam membangunkan masa depan kita.

“Inisiatif ini merupakan contoh terbaik yang perlu digalakkan mengenai pendekatan holistik pembangunan sosio-ekonomi dan mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn. Bhd., Alan Ni pula berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan Firefly dalam usaha menyokong perjalanan hijau dan mampan untuk pengguna.

“Kami mengalu-alukan peluang untuk memberikan lebih kesedaran dan pengetahuan kepada semua pengguna kami tentang faedah bahan api SAF dan kepentingannya terhadap pemuliharaan alam sekitar.

“Ia juga sesuai dengan usaha kemampanan Touch ‘n Go Group ke arah mencapai dunia yang lebih hijau.

“Kami mengaku-alukan pengguna kami untuk memanfaatkan promosi diskaun eksklusif 20 peratus dan menempah penerbangan mereka melalui aplikasi sama ada ke Pulau Pinang atau Seletar, Singapura hari ini.

“Selain itu, pengguna Touch ‘n Go eWallet yang terbang ke Singapura kini boleh membuat pembayaran dengan mudah menggunakan aplikasi Touch ‘nGo eWallet di premis yang memaparkan Alipay+,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN