PETALING JAYA: Emirates mengumumkan pelantikan Saeed Mubarak sebagai Pengurus Besar Malaysia baharu, menggantikan Mohammad Al Attar yang akan mengetuai operasi syarikat itu di Indonesia.
Menurut Emirates, Saeed menyertai program pentadbiran Emirates Airlines selama enam tahun dan telah menyandang pelbagai tugasan dalam jabatan komersial, dengan jawatan terakhir beliau ialah Pengurus Besar di Tunisia.
Katanya, beliau memiliki ijazah dalam bidang sains gunaan dengan pengkhususan dalam komunikasi.
“Sebagai Pengurus Besar yang baharu untuk Malaysia, beliau bertanggungjawab memastikan kelancaran keseluruhan perniagaan syarikat penerbangan itu di negara ini dan akan menguruskan satu pasukan yang terdiri daripada 45 orang profesional, sambil memastikan Emirates kekal sebagai syarikat penerbangan pilihan bagi rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Saeed berkata, beliau tidak sabar untuk bekerjasama dengan pasukan tempatan dalam meningkatkan kejayaan yang dicapai setakat ini serta mengukuhkan hubungan perniagaan dalam industri penerbangan.
“Saya juga teruja untuk mempromosikan Dubai sebagai destinasi yang menarik untuk pelancong di wilayah ini sama ada bagi tujuan riadah mahupun perniagaan,” katanya.
Emirat berkata, program luar negara warga UAE Emirates membolehkan pengurus komersil menyandang pelbagai tugasan kepimpinan dalam syarikat merentasi pelbagai pasaran seperti Asia Barat, Timur Jauh dan Eropah.
Setelah melalui program Pelatih Komersial Emirates untuk graduan, mereka mendapat peluang untuk memajukan kerjaya mereka serta meluaskan pendedahan mereka melalui pelbagai peranan dalam syarikat.
Perkembangan terbaharu itu akan menyaksikan 11 warga UAE yang berpengalaman ditempatkan di pasaran penting di mana mereka akan mengetuai operasi komersial syarikat dan membawa kemahiran dan pengalaman mereka untuk memacu pertumbuhan dan membangunkan strategi baharu.
Di samping itu, mereka akan bertanggungjawab untuk mengukuhkan kerjasama dan tapak Emirates dalam pasaran yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. – UTUSAN









