PETALING JAYA: Eksport Malaysia mengekalkan pertumbuhan dua angka pada Oktober 2022, mencatatkan peningkatan 15.0 peratus daripada RM114.5 bilion pada Oktober 2021 kepada RM131.6 bilion, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ia merupakan pertumbuhan dua angka selama 15 bulan berturut-turut sejak Ogos 2021.
Menurut DOSM, import pula meningkat 29.2 peratus daripada RM87.9 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM113.5 bilion.
Pada bulan dilaporkan, jumlah dagangan Malaysia meningkat 21.1 peratus kepada RM245.2 bilion.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan itu selari dengan peningkatan eksport domestik dan eksport semula.
“Eksport domestik berjumlah RM101.2 bilion (76.9 peratus daripada jumlah eksport), meningkat 10.8 peratus, tahun ke tahun. Sementara itu, eksport semula mencatatkan RM30.4 bilion (23.1 peratus daripada jumlah eksport), meningkat 31.6 peratus.
“Seiring dengan prestasi eksport, import pada Oktober 2022 juga mengekalkan momentum dengan pertumbuhan 29.2 peratus kepada RM113.5 bilion, terus mengatasi pertumbuhan eksport untuk bulan ke-10 berturut-turut sejak Januari 2022,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Uzir berkata, mengambil kira pertumbuhan import yang lebih tinggi berbanding eksport, lebihan dagangan direkodkan lebih rendah pada RM18.1 bilion, menyusut 32.0 peratus, lebihan dagangan bulan ke-30 berturut-turut sejak Mei 2020.
Di samping itu, berbanding September 2022, prestasi eksport, jumlah dagangan dan lebihan perdagangan menunjukkan penurunan masing-masing -8.7 peratus, -4.5 peratus, -43.2 peratus. Sementara itu, import meningkat pada kadar 1.0 peratus,
kata beliau
Ketua Perangkawan menjelaskan, peningkatan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi ke Singapura berjumlah RM4.1 bilion, diikuti Korea Selatan (+RM1.9 bilion), Jepun (+RM1.8 bilion), Australia (+RM1.4 bilion), Hong Kong (+RM1.1 bilion), Indonesia (+RM1.1 bilion), Amerika Syarikat (+RM1.1 bilion) dan Thailand (+RM1.0 bilion).
Sementara itu, import pula dipacu oleh peningkatan import yang lebih tinggi dari Arab Saudi berjumlah RM5.0 bilion, diikuti China (+RM4.0 bilion), Taiwan (+RM3.3 bilion), Amerika Syarikat (+RM2.9 bilion), Australia (+RM1.6 bilion), Jepun (+RM1.1 bilion) dan Singapura (+RM963.4 juta).
Katanya, peningkatan mengikut produk didorong oleh keluaran petroleum (+RM8.1 bilion); barangan elektrik & elektronik (+RM8.0 bilion); gas asli cecair (+RM4.1 bilion) dan petroleum mentah (+RM1.5 bilion).
“Sementara itu, peningkatan dalam import dicatatkan bagi petroleum mentah (+RM6.8 bilion); barangan elektrik & elektronik (+RM5.6 bilion); keluaran petroleum (+RM4.2 bilion); kelengkapan pengangkutan (+RM3.1 bilion); jentera, kelengkapan & peralatan (+RM2.4 bilion) dan kimia & bahan kimia (+RM748.7 juta),” katanya.
Tambah Mohd. Uzir, bagi tempoh Januari hingga Oktober 2022, jumlah dagangan, eksport dan import mengekalkan pertumbuhan kukuh dua angka.
Katanya, jumlah dagangan meningkat 31.6 peratus, disokong oleh peningkatan eksport (+28.5 peratus) dan import (+35.4 peratus). Lebihan dagangan mencatatkan nilai lebih tinggi RM205.6 bilion (+1.3 peratus). – UTUSAN










