PETALING JAYA: Permintaan kukuh yang berterusan dalam sektor automotif membolehkan DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) menamatkan tempoh sembilan bulan pertama 2022 dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM483.12 juta.
Prestasi itu mengatasi kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM444.64 juta yang dicatatkan untuk tempoh yang sama 2021.
Menurut DRB-HICOM, keuntungan terhasil daripada perolehan Kumpulan bernilai RM11.16 bilion bagi tempoh yang sama berakhir 30 September 2022, peningkatan 35.3 peratus daripada RM8.25 bilion tempoh yang sama 2021.
Jelasnya, dari segi prestasi bagi suku berakhir 30 September 2022, Kumpulan mencatatkan perolehan tertinggi berjumlah RM4.54 bilion, melebihi dua kali ganda prolehan RM2.12 bilion pada suku yang sama tahun lalu.
“Ini membolehkan Kumpulan mencatatkan PBT sebanyak RM249.96 juta untuk suku ketiga (S3) 2022, berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM201.42 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu. Ini merupakan suku keempat berturut-turut DRB-HICOM mencapai keuntungan sebelum cukai,” katanya dalam kenyataan.
DRB-HICOM berkata, keputusan kewangan yang positif disumbangkan prestasi lebih baik daripada syarikat-syarikat operasi Kumpulan, terutamanya sektor automotif, sektor perbankan serta sektor aeroangkasa dan pertahanan.
Katanya, sektor automotif menyumbang perolehan bernilai RM8.01 bilion dalam sembilan bulan pertama tahun ini, peningkatan 54.7 peratus berbanding tempoh sama 2021 (1Q-3Q 2021: RM5.17 bilion).
“Perolehan tinggi ini majoriti disumbang pengeluar kereta nasional Proton, syarikat pengedaran automotif dan syarikat pembuatan & kejuruteraan. Syarikat-syarikat ini telah menerima impak yang ketara akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya,” jelasnya.
Sektor-sektor lain Kumpulan tambahnya, turut mencatatkan peningkatan perolehan, kecuali sektor pos berikutan kemerosotan dalam perniagaan kurier disebabkan penurunan dalam jumlah keseluruhan bungkusan, terutamanya daripada pelanggan kontrak dan syarikat e-dagang utama menggunakan penghantaran mereka sendiri.
Menurut DRB-HICOM, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga 2022 (suku kedua: 8.9 peratus) didorong permintaan domestik yang kukuh di tengah-tengah pemulihan pasaran buruh.
Sebagai langkah berterusan untuk membendung tekanan inflasi katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini mengumumkan tambahan 25 mata asas Kadar Dasar Semalaman (OPR), meningkat daripada 2.50 peratus kepada 2.75 peratus.
“Namun, ketidaktentuan global yang disebabkan peralihan dasar dalam ekonomi negara maju, pengukuhan berterusan dolar Amerika, peningkatan konflik geopolitik dan gangguan rantaian bekalan terus menimbulkan ketidaktentuan dalam landskap ekonomi,” katanya.
Tambahnya, industri automotif kekal di landasan untuk mencapai unjuran Jumlah Volum Industri (TIV) 2022 sebanyak 630,000 unit. Jualan kenderaan meningkat lebih 60 peratus kepada 516,798 unit dalam tempoh sembilan bulan pertama 2022.
Kumpulan jelasnya, menjangka prestasi tahun kewangan semasa berakhir 31 Disember 2022 akan lebih baik daripada tahun lalu. – UTUSAN










