PETALING JAYA: Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR) dan KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) melancarkan kempen #SamaSamaSihat untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya gaya hidup sihat, bersempena Hari Diabetes Sedunia.
Acara julung kali itu, yang dipanggil ‘Jom Kekal Sihat Bersama’, dijalankan di Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2) di Bukit Lanjan.
Program itu juga disokong oleh syarikat makanan terkemuka seperti Jasmine Food Corporation Sdn. Bhd., Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd., Federal Oats Mills Sdn. Bhd. dan FGV Integrated Farming Sdn. Bhd.
Pelbagai acara diadakan termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, demonstrasi masakan sihat, taklimat kesihatan, aktiviti interaktif dan senaman zumba bersama selebriti Marsha Milan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CSR, Mohamad Zuki Wan Abdullah, sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab dari segi sosial, CSR percaya bahawa adalah penting untuk mendidik pengguna mengenai tabiat pemakanan yang sihat.
“Di CSR, kami menggalakkan penggunaan gula secara bertanggungjawab. Gula, seperti makanan atau minuman lain, harus diambil secara sederhana. Kami berterima kasih atas sokongan KPJ dan rakan strategik lain dalam membantu kami menyampaikan mesej penting ini,” katanya dalam kenyataan.
Menurut kajiselidik oleh Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, kira-kira 3.9 juta orang dewasa Malaysia terkesan akibat diabetes.
Kaji selidik oleh Indeks Diabetes Malaysia (MDI) yang dijalankan pada 2021, disokong oleh AstraZeneca dengan Kerjasama Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS) pula mendapati, kebanyakan rakyat Malaysia tidak mengetahui risiko yang membawa ke arah diabetes.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Damansara 1 dan 2, Dr. Ahmad Syukri Jamaludin yang mengalu-alukan inisiatif tersebut berkata, diabetes adalah satu daripada punca utama yang membawa kepada pelbagai komplikasi kesihatan.
Oleh itu katanya, penting untuk mendidik orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat secara keseluruhan dan penjagaan pencegahan melalui pemeriksaan kesihatan.
“Sekiranya wabak telah mengajar kita, pastinya kita sedar dan menjaga kesihatan kita dan orang tersayang dengan lebih baik. Kami berbangga dengan usaha kolektif ini dan semua dialu-alukan untuk menyertai DSH2 sekiranya mereka ingin menjalani pemeriksaan kesihatan yang lebih komprehensif,” katanya. – UTUSAN









