COOP.MY bantu koperasi tingkat digitalisasi

COOP.MY bantu koperasi tingkat digitalisasi

MAJLIS memperkenal inisiatif PRIME dan pengenalan domain COOP.MY oleh MYNIC Berhad di Cyberjaya, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Koperasi berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bakal menerima manfaat dalam mendigitalkan premis perniagaan mereka melalui memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai bersama MYNIC Berhad (MYNIC), Selasa lalu.

MYNIC, agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) yang merupakan pendaftar dan pentadbir tunggal rasmi nama domain .MY telah memperkenalkan inisiatif Program Realisasi Impian Ekonomi Digital (PRIME) dan pengenalan nama domain COOP.MY sebagai identiti digital khas kepada hampir 15,000 koperasi yang berdaftar dengan SKM.

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Datuk Ts. Hasnul Fadhly Hasan bersama Pengerusi Eksekutif SMK, Datuk Zazali Haron dan Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd. Ali Mansor

Menurut Hasnul Fadhly, MoU tersebut merupakan inisiatif bersama untuk membantu koperasi yang berdaftar dalam meningkatkan kapasiti serta keupayaan perniagaan mereka dari ‘offline’ ke ‘online’.

“Sejajar dengan tema sambutan 100 tahun gerakan koperasi Malaysia iaitu Gerakan Koperasi Membangun Keluarga Malaysia, COOP.MY yang diperkenalkan bakal menjadi platform kepada mereka untuk meningkatkan daya saing, kompetitif serta kekal relevan selain merangsang pertumbuhan aktiviti ekonomi digital negara.

“Insya-Allah, dengan termeterainya MoU antara MYNIC, SKM dan IKMa ini, matlamat kami adalah untuk terus memainkan peranan yang sewajarnya sebagai salah satu pembolehupaya di dalam ekosistem ekonomi digital dengan memperkasa mereka melalui pelbagai inisiatif yang dirancang,” katanya.

Tambah Hasnul Fadhly, pendigitalan merupakan antara strategi penting di era ekonomi kini, transformasi pendigitalan premis perniagaan mampu berfungsi sebagai penyambung hayat sesebuah perniagaan terutama­nya ketika di dalam fasa peralihan pendemik.

Kata beliau, melalui asset digital negara iaitu COOP.MY, ianya dapat membantu mereka mengembangkan perniagaan serta menaik taraf perniagaan agar sesuai dengan perubahan landskap ekonomi.

Beliau memberitahu, MYNIC, SKM dan IKMa merancang untuk menganjurkan latihan-latihan transformasi pendigitalan kepada koperasi berdaftar seluruh negara.

Katanya, MYNIC akan menyediakan program bimbingan berasaskan keperluan teknologi terkini serta platform komuniti selepas sesi latihan bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada kumpulan sasar.

“Kami akan berkerjasama de­ngan IKMa dari segi penggunaan kemudahan fasiliti dan infrastruktur bilik kuliah serta dewan untuk penganjuran latihan nanti.

“MYNIC sentiasa komited dalam merealisasikan aspirasi negara untuk memperkasa ekonomi digital dalam kalangan usahawan dan koperasi-koperasi seluruh negara. Semoga jalinan kerjasama ini akan memberi banyak manfaat kepada mereka,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN