Bursa melonjak tinggi, ringgit kukuh

Bursa melonjak tinggi, ringgit kukuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 mendapat respons positif para pelabur dengan Bursa Malaysia melonjak melepasi paras 1,500 mata, buat pertama kali hampir tiga bulan, sejak 30 Ogos lalu.

Pelabur terus menunjukkan keyakinan apabila mata wang negara, ringgit, turut mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat apabila ditutup pada 4.4900/5000, prestasi terbaik sejak 5 September lalu.

Sebaik sahaja Anwar di­umumkan sebagai Perdana Menteri, Bursa Malaysia menokok hampir 30 mata dan terus me­ningkat didorong oleh sentimen positif para pelabur terhadap kepimpinan baharu negara.

Pelantikan Anwar itu menamatkan kemelut Parlimen tergantung selepas gabungan parti-parti politik yang bertan­ding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu lalu, gagal mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan di pe­ringkat Pusat.

Kemelut kepimpinan yang berlarutan sebelum ini memberi kesan kepada pasaran Bursa Malaysia dan ringgit sejak didagangkan pada Isnin selepas cuti umum PRU15.

Dan semalam, keyakinan pelabur terhadap pasaran tempatan kembali apabila petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 58.38 mata kepada 1,501.88 daripada 1,443.50 pada penutup daga­ngan kelmarin.

Pada awal dagangan semalam, indeks utama itu naik 13.55 mata kepada 1,457.05, sebelum meningkat 28.94 mata pada rehat tengah hari kepada 1,471.44.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung me­ngatasi kaunter rugi sebanyak 979 berbanding 197 manakala 256 kaunter tidak berubah, 901 tidak diniagakan dan 84 lagi digantung.

Pasaran rancak menyaksikan perolehan meningkat mendadak kepada 6.87 bilion unit bernilai RM4.19 bilion berbanding 2.68 bilion unit bernilai RM1.63 bilion kelmarin.

Mengulas prestasi positif Bursa Malaysia itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, faktor pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri lebih kepada reaksi spontan daripada pelabur tempatan.

“Pada Isnin lalu, berlaku kejatuhan kerana ketika itu masih tiada sebarang kepastian siapakah yang akan mentadbir kerajaan baharu, jadi apabila sudah pasti, beberapa stok berkaitan politik dan sektor-sektor ini kembali meningkat.

“Bagaimanapun, saya lihat trend peningkatan ini bersifat sementara kerana ketika pembentukan kerajaan baharu pada 2018 juga Bursa Malaysia me­ningkat dalam jangka masa pendek sebelum mendatar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, keadaan itu adalah reaksi biasa pasaran termasuk pasaran glo­bal yang turut lega dengan pe­ngumuman Rizab Persekutuan (Fed) AS yang dijangka berhenti menaikkan kadar faedah secara agresif pada mesyuarat Disember ini.

“Perkara itu juga membantu nilai mata wang ringgit untuk kembali kuat berbanding dolar AS. Kita boleh lihat pasaran saham dan mata wang negara-negara lain juga turut mengukuh berbanding dolar AS.

“Ini dapat dilihat apabila baht Thailand, rupiah Indonesia dan dolar Singapura menambah antara 0.4 dan 0.9 peratus, manakala saham di Indonesia, Filipina dan India meningkat antara 0.2 dan 0.6 peratus,” ujarnya.

Pensyarah ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Dr. Barjoyai Bardai pula berkata, walaupun pasaran saham positif, namun terdapat sekatan untuk pasaran saham negara kerana banyak pelabur asing yang mengambil bahagian masih bertumpu kepada pelaburan dalam dolar AS kerana trend kadar faedah yang meningkat di negara itu.

“Jadi, pelaburan dalam dolar AS dan pendapatan tetap akan terus menarik minat pelabur. Kalau berlaku kenaikan di Malaysia, ia akan perlahan dan bukan secara mendadak.

“Sekarang, Kabinet baharu yang bakal dibentuk perlu menyediakan Bajet 2023 untuk diluluskan selewat-lewatnya awal Januari nanti. Justeru, mereka perlu membahaskan insentif dan inisiatif baharu Bajet 2023 di Parlimen selewat-lewatnya awal Disember ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN