Bintai, MNP bekerjasama pasang infra telekomunikasi di hospital 

Bintai, MNP bekerjasama pasang infra telekomunikasi di hospital 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bintai Kinden Corporation Berhad (Bintai Kinden) melalui anak syarikat milik penuhnya, Johnson Medical International Sdn. Bhd. (JMI) bekerjasama dengan MN Permai Netcom Sdn. Bhd. (MNP) untuk memasang infrastruktur telekomunikasi di hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Di bawah perjanjian itu, JMI akan memasang perkhidmatan telekomunikasi kepada KKM atau mana-mana hospital swasta yang disediakan oleh MNP, yang akan terlibat dalam penjualan serta pemasangan perkhidmatan tersebut.

Perkhidmatan yang disediakan oleh MNP termasuk menguruskan rangkaian backhaul, membekal dan memasang peralatan rangkaian capaian; hubungan dengan pihak ketiga; mereka bentuk infrastruktur rangkaian antara sambungan dan backhaul; mereka bentuk rangkaian capaian infrastruktur.

Perkhidmatan lain ialah mengekalkan rangkaian capaian, membekal dan memasang keperluan di tapak berasaskan teknikal dan menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan.

Pengarah Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai berkata, perjanjian itu memanfaatkan kekuatan kedua-dua pihak.

“JMI mempunyai rangkaian hubungan hospital dengan kehadiran yang kukuh di Malaysia dan memahami keperluan hospital dan orang yang bekerja di dalamnya.

“Kami mendengar pelanggan kami dan ingin memberikan mereka perkhidmatan atau produk yang menyelesaikan masalah mereka atau memenuhi keperluan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, perkhidmatan telekomunikasi yang ditawarkan oleh MNP membolehkan kelajuan pemindahan data yang lebih pantas serta prestasi aplikasi, penstriman video yang lebih pantas, mengurangkan penimbalan, meningkatkan keupayaan pemindahan data dan membolehkan interaktiviti.

Sementara itu, Pengarah Urusan MNP, Malik Faizal Bakar berharap dapat bekerjasama dengan JMI untuk menyediakan infrastruktur dan perkhidmatan telekomunikasi kepada hospital.

Kata beliau, sejak penubuhan syarikat pada 2014, MNP telah berkembang menjadi penyedia perkhidmatan yang komprehensif daripada perancangan, pembinaan, pengendalian dan pengoptimuman rangkaian termasuk penyelesaian dalam loji, penyelesaian loji luar dan sokongan teknikal.

“Kami juga mempunyai kepakaran dalam menguruskan projek infrastruktur telekomunikasi besar kerana kami telah dianugerahkan projek gentian optik sepanjang 120 km di Pulau Pinang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN