PETALING JAYA: Skim empangan hidroelektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) iaitu Skim Hidroelektrik Kenyir, Skim Hidroelektrik Sungai Perak dan Skim Hidroelektrik Cameron Hinghlands bersedia menakung kapasiti air dari hulu sungai yang dijangka meningkat pada musim tengkujuh tahun ini.
Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco), Datuk Nor Azman Mufti berkata, paras air di ketiga-tiga skim empangan hidroelektrik tersebut telah diturunkan sejak Julai, sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut kali ini.
Kata beliau, persediaan yang dilakukan termasuk pengurusan paras air empangan melalui pelepasan terkawal dan pemeriksaan menyeluruh di stesen-stesen janakuasa.
Katanya, dengan mengoptimumkan penggunaan air secara sasaran draw-down, paras air tasik telah diturunkan secara terancang ke paras minima sebelum bermulanya musim tengkujuh dengan mengambil kira keperluan operasi supaya keupayaan penjanaan elektrik masih boleh dilakukan.
“Pelan persediaan banjir secara menyeluruh telah dilaksanakan selaras dengan pendekatan Syarikat dalam mempertingkatkan komitmen dalam usaha berkaitan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam memacu perjalanan peralihan tenaga bertanggungjawab.
“Kami juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenai ramalan kaji cuaca dan taburan hujan sebenar, menjalankan latihan pengungsian dan melaksanakan ujian tahap ketersediaan bersama agensi-agensi kerajaan yang terlibat dengan pengurusan bencana seperti Agensi Pengurusan
Bencana Negara (NADMA),” katanya dalam kenyataan.
Nor Azman berkata, TNB Genco turut memberi jaminan kesemua empangan hidroelektrik milik syarikat utiliti itu berada dalam keadaan baik dan selamat.
Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik, orang ramai boleh menghubungi talian TNB CareLine di 15454 atau Facebook TNB Careline. – UTUSAN










