Bajet 2023 masih samar

Bajet 2023 masih samar

Kerajaan baharu perlu segera dibentuk bagi memuktamadkan belanjawan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kurang 40 hari memasuki tahun 2023 dengan kerajaan baharu yang masih gagal dibentuk setakat hari ini, timbul persoalan bagaimana kedudukan Bajet 2023 yang perlu dimuktamadkan untuk kestabilan ekonomi negara tahun hadapan.

Adakah kerajaan baharu akan mengekalkan belanjawan yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 7 Oktober lalu atau akan ada penambahan insentif dan inisiatif dalam belanjawan tersebut.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kemelut politik yang berpanjangan akan memberi ke­san kepada ekonomi untuk jangka waktu yang panjang dan kerajaan perlu dibentuk secepat mungkin bagi memastikan ekonomi negara dalam keadaan baik.

“Kerajaan caretaker boleh meluluskan perbelanjaan bulanan biasa yang termaktub dalam kuasanya seperti gaji penjawat awam, namun untuk perbelanjaan seperti perancangan menarik para pelabur dan persediaan ekonomi negara untuk menghadapai kemelesetan ekonomi global tahun depan adalah cukup membimbangkan.

“Selain itu harga minyak mentah dan gas yang turun naik akibat perang di Ukraine yang tidak berkesudahan turut memberi kesan kepada pendapatan negara melalui Petronas sekali gus menambahkan lagi perbelanjaan subsidi bahan api sekiranya harganya naik kembali.

“Ia memberikan tekanan langsung kepada hampir semua barangan dan perkhidmatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, Ismail Sabri berkata, kerajaan caretaker akan membentangkan mini Rang Undang-Undang (RUU) Belanjawan 2023 di Parlimen bagi peruntukan gaji penjawat awam namun tidak akan menyentuh bajet bagi pembangunan negara.

Jelasnya, pembentangan itu dibuat olehnya sekiranya kerajaan baharu belum dilantik.

Aimi Zulhazmi menegaskan, China yang merupakan rakan dagang negara terbesar untuk 12 tahun juga kini kembali menghadapi ancaman jangkitan Covid-19 sehingga memaksa mereka mengurangkan aktiviti ekonominya.

“Keadaan di China itu juga akan memberi kesan kepada ekonomi negara.

“Nilai mata wang ringgit yang terus menghadapi cabaran kenaikan kadar faedah bank pusat Amerika Syarikat (AS) juga memberikan tekanan kepada Bank Negara untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) nanti, yang pasti ‘melemaskan’ para pengguna dan peniaga.

“Justeru, kerajaan yang stabil amatlah kritikal dalam menghadapi cabaran yang terkini dan mendatang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN