AmBank semak naik unjuran eksport 2022 kepada 25.5-26.5%

AmBank semak naik unjuran eksport 2022 kepada 25.5 hingga 26.5 peratus

  – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AmBank Research menyemak naik unjuran pertumbuhan eksport kepada 25.5 hingga 26.5 peratus bagi tahun ini berbanding 24 hingga 25 peratus sebelum ini.

Ketua Ekonomi dan Penyelidikan AmBank Research, Dr. Anthony Dass dalam Sorotan Ekonominya berkata, ia berdasarkan kepada purata pertumbuhan ekonomi pada 26.4 peratus dari awal tahun sehingga kini.

Katanya, pertumbuhan dijangka perlahan pada suku keempat berikutan asas yang tinggi berbanding November dan Disember tahun lalu iaitu pada peruata 31.4 peratus dan pertumbuhan global yang semakin perlahan.

“Walaupun pertumbuhan yang sihat, kami melihat eksport menunjukkan tanda-tanda kelembapan. Ini dapat dilihat dari sektor pembuatan yang mana sub produk tertentu termasuk produk kayu dan produk logam yang masing-masing merosot sebanyak 11.7 peratus dan 8.1 peratus bulan ke bulan.

Kedua-duanya merosot untuk bulan keempat berturut-turut. Pembuatan produk getah sudah pun turun ke paras pra pandemik sekitar RM2 bilion berbanding kemuncaknya RM7.5 bilion pada April 2021.

Kesan asas rendah yang hilang telah membantu meredakan pertumbuhan eksport. Selain itu, lebih banyak komponen eksport kini mencatatkan satu digit atau menunjukkan penguncupan pertumbuhan tahunan,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, import masih kekal sihat dengan terus mencatatkan pertumbuhan tahunan melebihi 20 peratus sejak lapan bulan lalu.

“Ini boleh dikaitkan dengan eksport semula. Sepanjang 2019, purata bahagian bagi eksport semula semua nilai import kasar adalah sekitar 20.1 peratus dan meningkat kepada 25.3 peratus pada Januari 2022.

“Ini adalah di tengah-tengah segmen barangan penggunaan yang semakin menurun (7.5 peratus pada Oktober 2022 berbanding 8.3 peratus pada Oktober 2019),” ujarnya.

Tambahnya, firma penyelidikan tersebut mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 8.5 hingga sembilan peratus pada tahun ini.

Minggu lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan perdagangan negara berkembang sebanyak 21.1 peratus kepada RM245.18 bilion berbanding Oktober 2021 dan mencatatkan pertumbuhan dua angka yang ke-21 bulan berturut-turut.

Eksport pada Oktober 2022 meningkat 15 peratus kepada RM131.63 bilion, pertumbuhan dua angka yang ke-15 bulan berturut-turut.

Import pula, katanya naik 29.2 peratus kepada RM113.54 bilion, manakala lebihan dagangan berkurang sebanyak 32 peratus kepada RM18.09 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN