AirAsia X kembali ke Busan 2023

AirAsia X kembali ke Busan 2023

BENJAMIN Ismail (dua kiri) dan Jung-Sil Lee pada majlis pemeteraian kerjasama antara AirAsia X dan Pertubuhan Pelancongan Busan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AirAsia X (AAX) bakal menyambung semula laluan terus dari Kuala Lumpur ke Busan, Korea Selatan pada awal 2023.

Penerbangan tiga kali seminggu itu akan menjadi laluan AAX kedua ke Korea Selatan selepas melancarkan penerbangan ke Seoul pada April lalu, jelas syarikat penerbangan tambah rendah itu.

Selain melancarkan semula laluan itu, AAX katanya, turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pertubuhan Pelancongan Busan (BTO) untuk membangunkan kempen jualan dan pemasaran bersama, memanfaatkan sokongan ejen pelancongan, mengukuhkan rangkaian penerbangan, dan memupuk ekonomi kedua-dua negara melalui sektor pelancongan.

MoU itu telah ditandatangani di Pavilion Hotel Kuala Lumpur oleh Ketua Pegawai Eksekutif AAX, Benyamin Ismail dan Presiden BTO, Jung-Sil Lee.

Benjamin berkata, AAX teruja untuk menjadi syarikat penerbangan pertama dari Malaysia yang bakal kembali ke Busan.

“Korea Selatan ialah pasaran yang amat penting dan kami telah melihat pertumbuhan yang luar biasa dari laluan sedia ada kami ke Seoul dengan kira-kira 80 peratus faktor muatan.

“Bermula dengan tiga penerbangan mingguan dan berdasarkan ramalan permintaan yang kukuh, kami menjangka kekerapan penerbangan ke Busan akan kembali kepada perkhidmatan harian menjelang akhir tahun. Kami percaya pelancaran semula laluan ke Busan akan membantu memperkukuh hubungan perniagaan dan pelancongan antara Malaysia dan Korea Selatan,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Benjamin, pada 2019, AAX telah menerbangkan kira 200,000 tetamu ke/dari Busan.

Beliau percaya, penerbangan terus ke Busan akan memacu sektor pelancongan dan ekonomi di kedua-dua negara.

“Laluan baharu itu juga menandakan komitmen kami untuk terus menawarkan perjalanan udara jarak sederhana bernilai hebat untuk para tetamu dan kami tidak sabar untuk melihat lonjakan ketibaan pelancong ke/dari Busan tidak lama lagi,” katanya.

Jung-Sil Lee pula berkata, BTO berbesar hati dapat bekerjasama dengan AAX untuk memperkukuh peluang pelancongan Busan, bandar yang mempunyai warisan unik, pelbagai tarikan semula jadi, dan infrastruktur termaju.

Katanya, tempoh dua setengah tahun lalu memberi impak yang besar kepada industri pelancongan Busan tetapi berjaya melepasi cabaran tersebut dan gembira kerana AAX akan menjadi sebahagian daripada usaha itu.

“Pelancaran semula penerbangan terus AAX ke Busan menandakan peristiwa penting dalam penyambungan semula perkhidmatan ke bandar itu. Kami percaya para pengembara akan menghargai sambungan terus ini, seterusnya menjadikan Busan destinasi percutian popular sekali lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN