PETALING JAYA: Sebanyak 93 peratus syarikat pasaran peringkat pertengahan (MME) di Malaysia optimis terhadap prospek untuk mengembangkan angka jualan pendapatan mereka pada 2023 walaupun pertumbuhan ekonomi yang lemah di peringkat global.
Menurut tinjauan Business Balancing Act (BBA) HSBC yang dijalankan oleh syarikat kaji selidik Toluna, angka tersebut adalah sejajar dengan angka purata di peringkat global di 14 pasaran.
Katanya, daripada jumlah tersebut, 30 peratus menjangkakan jualan meningkat sebanyak 15 hingga 20 peratus, manakala 25 peratus daripada MME pula lebih positif dan menjangkakan jualan meningkat melebihi 20 peratus.
Jelasnya, keyakinan terhadap pertumbuhan jualan pada 2023 dipacu daripada dua pemangkin utama iaitu 56 peratus MME mengatakan pengenalan produk dan perkhidmatan baharu untuk perniagaan mereka dan 53 peratus pula melibatkan kecekapan yang dipacu teknologi dalam operasi mereka.
“Keupayaan untuk menarik pelaburan dan pembiayaan yang terjamin untuk perniagaan mereka (50 peratus) dan meningkatnya permintaan domestik (49 peratus) adalah dua lagi pemacu utama lain yang dinyatakan oleh MME.
“Mengenai ancaman utama kepada pertumbuhan perniagaan MME pada tahun depan, kebimbangan yang paling banyak yang dibangkitkan adalah inflasi dan kos sara hidup yang lebih tinggi (63 peratus), kenaikan kadar faedah (44 peratus) dan ketidaktentuan dalam persekitaran politik (43 peratus),” katanya dalam kenyataan di sini.
Tinjauan itu merangkumi sejumlah 171 ketua pegawai eksekutif dan ketua pegawai kewangan MME di Malaysia yang sedang meningkat maju dan terkemuka dengan perolehan tahunan antara AS$10 juta (RM47 juta) hingga AS$500 juta (RM2.35 juta).
Majoriti MME ini adalah daripada sektor pembuatan, peruncitan, digital dan perkhidmatan kewangan.
HSBC berkata, laporan BBA tersebut menekankan kedudukan baki kewangan dan strategik yang dirancang oleh peneraju MME ketika mereka melangkah ke tahun 2023.
“Sebagai contoh, 78 peratus MME merancang untuk memasuki sekurang-kurangnya satu pasaran asing pada 2023, namun pada masa yang sama 69 peratus menjangkakan perdagangan antarabangsa menjadi lebih sukar pada tahun depan.
“Sementara itu, 43 peratus menyatakan persekitaran politik yang tidak menentu dan 30 peratus menyatakan kenaikan tarif sebagai ancaman kepada pertumbuhan perniagaan.
“Mengenai rantaian bekalan, lebih tiga perlima (65 peratus) MME mengatakan bahawa mereka akan memberi tumpuan untuk menjadikan rantaian bekalan mereka lebih mampan pada 2023,” ujarnya.
Namun begitu, HSBC berkata, 29 peratus daripada MME ini mengatakan bahawa kekurangan pembekal dan barangan berkualiti untuk menyokong rantaian bekalan yang mampan merupakan suatu yang membimbangkan.
Ketua Perbankan Komersial HSBC Malaysia,, Karel Doshi berkata, MME merupakan pemacu pertumbuhan penting kepada ekonomi Malaysia dan keyakinan mereka dalam mengembangkan perniagaan meskipun dalam persekitaran ekonomi yang lebih sukar pastinya merupakan pertanda positif.
“Sebagai sebuah bank antarabangsa terkemuka, HSBC amat berbesar hati dan bersedia untuk menyokong peluang pertumbuhan dan memaksimumkan potensi MME dalam usaha mereka mengukuhkan kedudukan untuk pertumbuhan pada 2023.
“Ini bagi membolehkan MME mengembangkan perniagaan mereka demi meningkatkan kehadiran mereka merentasi sempadan,” jelasnya. – UTUSAN










