Yang di-Pertuan Agong rasmi Battersea Power Station

Yang di-Pertuan Agong rasmi Battersea Power Station

AL-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Raja Permaisuri Agong berkenan merasmikan projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia, Battersea Power Station di Central London.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan majlis perasmian projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia iaitu Battersea Power Station (BPS) di Central London semalam, menjelang pelancarannya kepada umum hari ini.

Baginda diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Datuk Zakri Jaafar.

Yang di-Pertuan Agong menyempurnakan pembukaan BPS dengan menghidupkan semula kuasa secara simbolik di Dewan Turbin A, yang telah tidak aktif selama lebih 40 tahun dan kini akan menempatkan sebahagian daripada pusat beli-belah stesen janakuasa itu.

Mercu tanda tersenarai Gred II* yang pernah menjadi stesen janakuasa arang batu satu ketika dulu kini bersedia untuk menjadi salah satu destinasi beli-belah dan riadah yang paling menarik di London setelah hampir empat dekad penutupannya.

Menurut Zakri, pembukaan semula Stesen Janakuasa Battersea adalah bukti keupayaan Malaysia dalam melaksanakan jurusan projek pembangunan di United Kingdom (UK).

“Saya yakin kita akan melihat lebih banyak usaha seperti ini pada masa hadapan. Saya mengucapkan tahniah kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB), Sime Darby Property, S P Setia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atas segala usaha mereka dalam memulih dan membangunkan semula Stesen Janakuasa Battersea.

“Ini adalah satu pencapaian yang luar biasa seterusnya mewakili hubungan ekonomi dan pelaburan dua hala yang rapat di antara Malaysia dan UK,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Battersea Project Holding Company (BPHC), Datuk Jagan Sabapathy berkata, melalui kekuatan hubungan Malaysia-UK yang berkekalan, pengalaman pemegang saham yang meluas dan cita-cita rakyat Malaysia untuk menyampaikan kecemerlangan di seluruh dunia, pihaknya telah mencapai kejayaan besar ini untuk menghidupkan semula ikon London.

“Bukan sahaja destinasi baharu telah dicipta daripada stesen janakuasa yang tidak digunakan, malah komuniti yang berkembang maju telah pun wujud sejak pembukaan fasa pertama projek berkenaan, Circus West Village,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pula berkata, transformasi yang dahulunya stesen janakuasa arang batu kepada destinasi kediaman, runcit dan percutian serta riadah holistik yang juga mampu membekalkan tenaga mampan menandakan ia satu pencapaian penting dalam sejarah pembangunan hartanah London.

“Sebagai pelabur institusi jangka panjang, kami berharap untuk menyaksikan BPS berkembang maju sebagai hab komuniti dan perniagaan yang mampan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN